Bertafakur seminit iringi aksi Perancis, Sepanyol

Bertafakur seminit iringi aksi Perancis, Sepanyol

Paris: Satu minit bertafakur akan diadakan sebelum aksi separuh akhir Piala Dunia antara Perancis dan Sepanyol sebagai penghormatan kepada mangsa serangan di Nice pada 14 Julai 2016, kata Presiden Perancis, Emmanuel Macron.

Perlawanan di Dallas, Rabu ini, berlangsung bertepatan ulang tahun ke-10 tragedi yang meragut 86 nyawa dan mencederakan lebih 400 orang apabila seorang pemandu lori merempuh orang ramai yang pulang selepas menyaksikan pertunjukan bunga api sempena Hari Bastille di bandar raya Nice.

“Sebelum perlawanan Perancis menentang Sepanyol, satu minit bertafakur akan diadakan bagi memperingati mangsa serangan Nice, sempena ulang tahun ke-10 tragedi 14 Julai 2016.

“Terima kasih kepada Presiden FIFA kerana memenuhi permintaan Perancis dan seluruh rakyat Perancis yang bersama-sama mengemukakan hasrat ini. Kami tidak akan melupakan mereka,” kata Macron menerusi hantaran di platform X.

Serangan itu dilakukan oleh Mohamed Lahouaiej-Bouhlel, lelaki warga Tunisia berusia 31 tahun yang dipengaruhi fahaman radikal sebelum ditembak mati polis di lokasi kejadian.

Kumpulan militan Negara Islam (IS) kemudian mengaku penyerang berkenaan adalah antara pengikut mereka.

Tragedi di Nice berlaku kurang setahun selepas siri serangan pengganas di sekitar Paris pada 13 November 2015 yang mengorbankan 130 orang, antara serangan paling buruk pernah berlaku di Perancis pada waktu aman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top