Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan saman terhadap pelawak terkenal Harith Iskander berhubung persembahan komedi yang didakwa menyamakan dirinya dengan makhluk mistik seperti Pontianak dan Pocong.
Dakwa jadi bahan lawak

Memetik laporan New Straits Times, dalam penyata tuntutan, Rosmah mendakwa kejadian itu berlaku ketika persembahan Harith Iskander: The Outspoken Comedy Tour di Melaka pada 17 Januari lalu.
Beliau mendakwa Harith telah memaparkan beberapa imej makhluk mitos seperti Toyol, Pontianak dan Pocong sebelum menunjukkan gambar dirinya kepada penonton.
Menurut Rosmah, pelawak itu kemudian membuat jenaka mengenai figura yang dianggap paling “menakutkan” dalam mitologi Malaysia sebelum memaparkan gambarnya, sekali gus menggambarkan dirinya lebih menggerunkan berbanding makhluk tersebut.
Beliau mendakwa tindakan itu menyebabkan dirinya menjadi bahan ejekan orang awam serta mendakwa komen berkenaan mempunyai unsur body shaming dan dibuat secara berniat jahat sehingga menjejaskan reputasinya.
Rosmah, yang juga isteri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, turut mendakwa persembahan tersebut memberi gambaran bahawa beliau seorang yang menakutkan, jahat, tidak berperikemanusiaan, tidak layak dihormati serta wajar dijadikan bahan sindiran dan ketakutan orang ramai.
Dalam saman itu, Rosmah berkata klip persembahan berkenaan kemudiannya tersebar luas di TikTok, dengan salah satu video menerima lebih 219,700 tontonan, sekali gus menyebabkan reputasinya terus terjejas.

Beliau menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk (aggravated damages) dan ganti rugi teladan (exemplary damages), selain memohon perintah injunksi, penghapusan kandungan berkenaan serta permohonan maaf tanpa syarat.
Sementara itu, Harith menafikan dakwaan tersebut dan berhujah bahawa saman berkenaan dibuat berdasarkan klip TikTok yang telah disunting serta tidak memaparkan keseluruhan konteks persembahan komedi berdurasi 90 minit itu.
Dalam penyata pembelaan yang difailkan pada 9 Julai, Harith berkata kenyataan yang didakwa memfitnah itu perlu dilihat berdasarkan keseluruhan persembahan yang merangkumi interaksi bersama penonton, penyampaian, masa penyampaian jenaka, penafian (disclaimer) serta peraturan persembahan, bukannya melalui petikan video yang dimuat naik secara berasingan oleh pihak ketiga.
Beliau turut menafikan pernah merakam, memuat naik atau memberi kebenaran terhadap video TikTok yang digunakan sebagai asas tuntutan Rosmah, sambil berkata beliau tidak mempunyai kaitan dengan akaun @mayychan0303 yang memuat naik klip tersebut.
Harith mendakwa video berkenaan telah disunting, tidak lengkap dan diterbitkan tanpa pengetahuan atau persetujuannya, selain bercanggah dengan arahan beliau yang melarang penonton merakam atau menyebarkan mana-mana bahagian persembahan.
Beliau turut berhujah bahawa rujukan terhadap makhluk mitos tersebut bersifat fiksyen, kiasan dan satira, serta tidak boleh difahami oleh orang munasabah sebagai kenyataan fakta sebenar mengenai Rosmah.
Artikel lain: Pemimpin Melayu DAP tak setuju kempen PRN guna imej Najib, Rosmah -“Ini perlu diubah”
Selain itu, Harith mendakwa kandungan TikTok tersebut merupakan penerbitan berasingan oleh pihak ketiga dan beliau tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan terhadap penyebaran berkenaan.
Beliau turut membangkitkan Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan dengan menyatakan bahawa persembahan komedi berdiri (stand-up comedy) dan karya satira merupakan bentuk ekspresi seni yang dilindungi.
Sumber: New Straits Times (Rahmat Khairulrijal)




