Imigresen susun strategi operasi, ambil tindakan penguatkuasaan tegas

Imigresen susun strategi operasi, ambil tindakan penguatkuasaan tegas

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Menyamar sebagai pelanggan walaupun bekerja sebagai pelayan antara taktik warga asing yang bekerja di negara ini yang dikesan cuba mengaburi pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ketika operasi penguatkuasaan dijalankan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, taktik seperti itu biasa dilakukan warga asing bagi mengelak daripada pihak berkuasa.

Bagaimanapun katanya, ia tidak menjejaskan usaha penguatkuasaan dijalankan kerana pihaknya sentiasa menyusun strategi operasi mengikut perubahan taktik digunakan warga asing.

“Apa-apa operasi, kita tak boleh lari daripada mereka akan mengelak, mereka akan mengubah modus operandi dan sebagainya, itu perkara biasa. Namun, apa saja tindakan mereka, kita juga ada cara kita.

“Kita akan susun strategi operasi supaya mereka tidak boleh terlepas walaupun apa-apa taktik dilakukan, kita tetapi akan ambil tindakan,” katanya ketika ditemui di Balai Berita, di sini, hari ini.

Menurutnya, antara kesalahan yang biasa dilakukan adalah salah guna pas dengan helah warga asing yang bekerja secara tidak sah biasa dilakukan ialah menyamar sebagai pengunjung atau pelanggan bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Contoh lain kalau operasi di kelab-kelab malam, yang bekerja sebagai pelayan biasanya mereka tidak mengaku sebagai pelayan sebaliknya akan mengatakan mereka adalah pengunjung.

“Sebarang pas yang mereka (warga asing) ada, mereka tidak salah kalau mengunjungi pusat hiburan tetapi salah kalau menyalahgunakan pas contohnya sebagai pelancong, menggunakan pas sosial sebagai pelancong tetapi mereka bekerja sebagai pelayan.

“Jika mereka ada pas ekspatriat dan pas pelajar tapi mereka bekerja sebagai pelayan itu juga salah. Perkara ini juga sama di premis perniagaan lain,” katanya.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, antara faktor pemilik premis perniagaan warga tempatan memilih menggajikan warga asing adalah kerana golongan itu boleh dibayar gaji rendah selain mereka dikatakan lebih bersungguh melakukan kerja.

Bagaimanapun tegasnya, itu bukan alasan untuk mana-mana majikan tempatan menggajikan warga asing secara tidak sah dan semua pihak juga perlu mematuhi semua peraturan ditetapkan dalam menggajikan warga asing.

“Kepada mereka (majikan) yang masih lagi melakukan perkara itu (menggajikan warga asing secara tidak sah) tunggu Imigresen akan datang, kita tidak akan biarkan mereka berterusan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kompaun maksimum terhadap majikan ialah RM10,000 bagi setiap pekerja asing yang digajikan secara tidak sah dan pihaknya akan meneliti kadar kompaun itu sebagai pengajaran kepada majikan supaya tidak mengulanginya.

“Sekiranya kompaun RM10,000 setiap pekerja asing yang digaji itu masih tidak memberi kesan, kemungkinan kita naikkan lagi (kadar kompaun) kita akan lihat, akan teliti dan akan bawa kepada peringkat atasan untuk dinilai.

“Setakat ini ramai juga (majikan) yang datang merayu untuk kurangkan kompaun kerana mereka tidak mampu bayar kompaun,” katanya.

Zakaria berkata, majikan digesa lebih bertanggungjawab dalam perkara itu dengan menggunakan saluran yang betul kerana rakyat Malaysia juga mempunyai tanggungjawab untuk turut bersama menjaga negara ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top