Pendakwa Itali mohon kes penipuan sukan terhadap Rocchi digugurkan

Pendakwa Itali mohon kes penipuan sukan terhadap Rocchi digugurkan

Milan: Pendakwa raya di Milan memohon supaya kes penipuan sukan membabitkan bekas ketua pelantik pengadil Serie A dan Serie B, Gianluca Rocchi, digugurkan selepas siasatan mendapati tiada bukti berlaku pengaturan perlawanan.

Menurut agensi berita ANSA, Rocchi sebelum ini disiasat atas syak wasangka bersubahat dalam penipuan sukan berkaitan pelantikan pengadil bagi empat perlawanan, termasuk aksi Serie A membabitkan Torino menentang Inter Milan pada musim yang baru berakhir.

Rocchi yang bertanggungjawab melantik pengadil bagi dua liga utama Itali mengambil keputusan menggantung tugasnya pada April lalu.

Ketika itu, beliau berkata tindakan berkenaan akan membolehkan proses undang-undang berjalan dengan lancar dan yakin dirinya akan dibersihkan daripada sebarang dakwaan.

Selepas menjalankan siasatan selama dua tahun, pihak pendakwa raya dilaporkan tidak menemui sebarang bukti yang menunjukkan wujudnya pengaturan perlawanan.

Mereka turut memaklumkan siasatan gagal mengenal pasti sebarang sistem tersusun yang bertujuan mempengaruhi pelantikan pengadil.

Bagaimanapun, dokumen siasatan itu tetap diserahkan kepada pihak keadilan sukan Itali serta Pejabat Pendakwa Raya Agung Jawatankuasa Olimpik Itali untuk menilai sama ada terdapat sebarang pelanggaran disiplin.

Sekiranya dipersetujui mahkamah, permohonan itu bakal menamatkan siasatan jenayah terhadap Rocchi, namun beliau masih berkemungkinan berdepan tindakan di bawah saluran disiplin sukan jika pihak berkuasa berkaitan mendapati berlaku pelanggaran peraturan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top