am@hmetro.com.my
Puchong : Penyanyi, Shila Amzah meluahkan rasa syukur apabila tiket konsert solonya, Shila Amzah Kita 25 Tahun Bersama mendapat sambutan hangat daripada peminat di luar negara.
Konsert berkenaan dijadualkan berlangsung di Arena Of Stars, Resorts World Genting, Pahang pada 15 Ogos depan.
Shila atau nama sebenarnya, Nurshahila Amir Amzah, 37, berkata, ada peminat dari China yang sudah membeli tiket untuk ke Genting.
“Dalam masa yang sama, tiket untuk siri jelajah saya di China pun baru sahaja dibuka hari ini. Memang keadaan sekarang sangat sibuk, peminat saya pun sudah macam ‘sotong’ nak dapatkan tiket.
“Alhamdulillah, kita bakal melihat peminat berbilang kaum akan berkumpul pada konsert solo saya nanti,” katanya ketika ditemui pada sidang media Shila Amzah Kita 25 Tahun Bersama di The Coffee Bean & Tea Leaf, Sierra Fresco, di sini, petang tadi.
Mengulas lanjut, kata Shila, dia juga menjanjikan kelainan sempena konsert solonya itu dan berhasrat menampilkan sisi berbeza dirinya yang jarang ditonjolkan kepada umum termasuklah menari lincah di atas pentas.
“Saya sebenarnya sangat suka menari. Jadi untuk konsert kali ini, saya mahu lebih banyak persembahan yang membolehkan saya bergerak aktif di atas pentas.
“Sering kali orang hanya mengenali saya dengan lagu-lagu galau, lagu berentak perlahan dan sebagainya. Namun, sebenarnya, dari segi variasi vokal dan pergerakan sebenar, saya kurang mendapat peluang untuk menari sebelum ini,” katanya.
Pada masa sama, kata Shila, dia juga bakal mendedikasikan segmen khas sebagai penghormatan kepada tiga legenda muzik yang banyak memberi inspirasi sepanjang 25 tahun karier seninya iaitu Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, Raja Pop Michael Jackson dan bintang terkenal Taiwan kelahiran Malaysia, Fish Leong.
“Fish Leong adalah penyanyi legenda Cina yang sangat hebat dan berjaya membawa nama Malaysia sehingga ke Taiwan sejak era tahun 2000-an lagi.
“Bagi saya, bintang legenda inilah yang betul-betul memberikan inspirasi kepada saya sehingga mampu bertahan pada tahap ini,” katanya.
Ditanya pemilihan barisan artis jemputan pula, kata Shila, dia memilih Mimi Fly, Hael Husaini, DJ Fuzz, Balan Kashmir dan Kidd Santhe kerana menganggap ia bersesuaian dengan tema konsertnya iaitu ‘Kita’.
“Adalah sangat tidak wajar untuk kita tidak menampilkan rakan-rakan dalam industri kita sendiri. Antara nama pertama yang terlintas di fikiran saya adalah Mimi Fly dan Hael Husaini.
“Manakala, DJ Fuzz, Balan Kashmir dan Kidd Santhe pula, ia disebabkan saya mahu mencuba sesuatu yang baharu iaitu berada dalam kelompok muzik hip hop. Ini adalah waktu terbaik untuk saya bereksperimen dan belajar banyak perkara baharu,” katanya.
Kata Shila lagi, dia juga akan menyampaikan kira-kira 40 lagu termasuk bersama artis jemputan pada konsert terbabit.
“Saya jangkakan sebanyak 17 hingga 18 lagu adalah dalam bahasa Mandarin, manakala, selebihnya adalah campuran lagu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




