Kegagalan Jerman di Piala Dunia berpunca masalah struktur

Kegagalan Jerman di Piala Dunia berpunca masalah struktur

Berlin: Kegagalan berterusan Jerman di pentas Piala Dunia berpunca daripada masalah struktur, politik dan budaya dalam masyarakat negara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bayer Leverkusen, Fernando Carro.

Juara dunia empat kali itu tersingkir secara mengejut selepas tewas kepada pasukan kerdil Paraguay pada pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 pada Jun lalu.

Kegagalan itu menyambung episod mengecewakan Jerman yang turut tersingkir di peringkat kumpulan pada edisi 2018 dan 2022.

Carro yang mengambil alih tugas di Leverkusen pada 2018 membantu kelab itu mencipta sejarah apabila menjulang kejuaraan Bundesliga pertama pada 2024 selain memenangi Piala Jerman pada musim sama.

Menurutnya, Jerman perlu meningkatkan pelaburan dalam pembangunan pemain muda termasuk memperkukuhkan hubungan antara sistem pendidikan dan sukan.

“Perlu ada pelaburan lebih besar dalam pembangunan pemain muda termasuk integrasi yang lebih baik antara sekolah dan sukan.

“Infrastruktur moden bertaraf dunia juga sangat penting. Projek yang boleh memperbaiki keadaan ini terlalu kerap terganggu disebabkan birokrasi dan proses membuat keputusan yang panjang,” katanya kepada AFP.

Carro, 61, berkata masalah bola sepak Jerman bukan hanya berkaitan kemudahan dan struktur, tetapi turut melibatkan aspek budaya.

Beliau memberi contoh Leverkusen yang masih menunggu kelulusan hampir sedekad untuk membina pusat latihan baharu walaupun skop projek itu sudah dikurangkan daripada perancangan asal.

“Kami masih berdepan masalah mendapatkan kelulusan walaupun sudah mengenal pasti lokasi yang sesuai.

“Itu hanya satu contoh kecil kepada cabaran lebih besar yang berlaku di Jerman,” katanya.

Carro yang berasal dari Barcelona turut memuji kejayaan Sepanyol yang mara ke final Piala Dunia serta Perancis dan England yang melangkah ke separuh akhir, sambil menyifatkan ketiga tiga negara itu memiliki cita cita besar, daya tahan dan kekuatan kolektif.

“Ada banyak perkara yang boleh dipelajari daripada negara lain dan sistem mereka. Sepanyol, England dan Perancis adalah tiga daripada empat pasukan separuh akhir Piala Dunia yang berada dekat dengan kita.

“Mereka adalah negara bola sepak yang sama maju dan telah membuat pelaburan berterusan dalam infrastruktur moden, akademi, jurulatih serta pembangunan pemain,” katanya.

Jerman dijangka melantik bekas pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, sebagai jurulatih baharu selepas peletakan jawatan Julian Nagelsmann.

Namun, Carro menegaskan Klopp tidak mampu menyelesaikan semua masalah bola sepak Jerman secara bersendirian.

“Jurgen Klopp telah mencapai banyak kejayaan dalam kariernya dan layak mendapat penghormatan.

“Tetapi seorang jurulatih sahaja tidak mampu menyelesaikan cabaran jangka panjang dan masalah struktur.

“Persekitaran di sekelilingnya sama penting, termasuk konsep pembangunan pemain muda yang kuat dan moden, infrastruktur bertaraf dunia, prinsip prestasi yang jelas serta kesediaan untuk berubah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top