Tuchel tidak kesal strategi memakan diri

Tuchel tidak kesal strategi memakan diri

Atlanta: Pengendali England, Thomas Tuchel menegaskan dia tidak menyesal dengan strategi yang digunakan walaupun pasukannya tersingkir selepas tewas 1-2 kepada Argentina pada aksi separuh akhir Piala Dunia di Atlanta, awal pagi tadi.

England menguasai sebahagian besar permainan sebelum mendahului menerusi Anthony Gordon pada minit ke-55, namun memilih pendekatan lebih bertahan bagi mempertahankan kelebihan itu.

Keputusan itu akhirnya memakan diri apabila Argentina bangkit meledak dua gol pada minit ke-85 dan masa kecederaan untuk menempah tiket ke final.

“Semua orang boleh membincangkannya dengan sejuta jurulatih, tetapi saya yang perlu membuat keputusan di padang.

“Saya menganalisis perlawanan dan memilih pendekatan itu, jadi tanggungjawab sepenuhnya di bahu saya. Ketika keputusan dibuat, saya tidak menyesal. Pasukan memberikan segala-galanya dan kami benar-benar hampir melakukannya.

“Ini bukan masa untuk menilai keseluruhan kempen. Kami tersingkir kerana tewas dalam perlawanan yang sangat penting,” katanya.

Selain mengubah corak permainan kepada lebih defensif, Tuchel turut membuat pertukaran pemain yang lebih berorientasikan pertahanan apabila mengeluarkan penjaring gol, Gordon, untuk digantikan pertahanan Ezri Konsa pada minit ke-72.

Menurut Tuchel, pertukaran itu dilakukan bagi mengekang ancaman Argentina yang semakin kerap melakukan serangan dari bahagian sayap.

“Kami beralih kepada benteng lima pemain untuk menutup ruang di bahagian tengah dan lebih kukuh menghadapi bola tinggi kerana sejurus selepas kami menjaringkan gol, tanpa sebarang pertukaran pemain, kami membenarkan terlalu banyak hantaran lintang dan peluang.

“Kami cuba membantu pasukan, tetapi tanggungjawab tetap di bahu jurulatih. Jika keputusan tidak menjadi, memang mudah untuk mengatakan strategi itu salah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top