Dua tragedi di jambatan sama, wanita maut, kanak-kanak dan lelaki masih hilang

Dua tragedi di jambatan sama, wanita maut, kanak-kanak dan lelaki masih hilang

am@hmetro.com.my

Bagan Datuk: Dua insiden dipercayai terjatuh dari Jambatan Sultan Nazrin Shah di sini, dalam tempoh kurang lapan jam hari ini, mengakibatkan seorang wanita maut manakala seorang kanak-kanak dan seorang lelaki dewasa masih hilang.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Lim Li Yin, 38, manakala anak lelakinya, Wong Long Hee, 2, masih belum ditemui.

Seorang lagi mangsa yang hilang ialah Mohd Nor Ferdaus Mohd Mokhtar, 42.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, laporan pertama pada 11.36 pagi membabitkan kehilangan Mohd Nor Ferdaus.

Menurutnya, motosikal Modenas Z15 GT milik mangsa ditemui di bahu jalan di bahagian tengah jambatan.

“Pos Kawalan Bomba (PKB) kemudian dibuka sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan.

“Pasukan melakukan pencarian di permukaan sungai menggunakan bot dalam radius tiga kilometer bermula jam 12.12 tengah hari, manakala Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) tiba pada jam 4.33 petang.

“Bagaimanapun, keadaan arus deras menyebabkan operasi selaman tidak dapat dijalankan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Sayani berkata, ketika operasi SAR masih berlangsung, pihaknya menerima satu lagi panggilan kecemasan pada 7.15 malam mengenai seorang wanita bersama anak lelaki yang dipercayai terjatuh dari jambatan sama.

“Tindakan pantas bot JBPM dapat menjumpai wanita itu dalam keadaan terapung namun anak lelaki masih tidak ditemui.

“Wanita itu diberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) oleh anggota bomba lalu dihantar ke Hospital Teluk Intan namun maklumat yang diterima mengatakan mangsa sudah meninggal dunia di sana,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Sayani berkata lagi, operasi ditangguhkan jam 8.20 malam tadi dan akan disambung jam 8 pagi esok disebabkan keadaan cuaca dan faktor keselamatan.

“Bagi mangsa lelaki dewasa, dia dipercayai jatuh di kawasan tengah jambatan manakala bagi kes wanita dan anaknya, mereka berdua dipercayai jatuh di bahagian hujung jambatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top