Terjejas kebakaran: 116 pelajar SMA Tarbiah Diniah terima bantuan RM500 seorang – Saifuddin Nasution

Terjejas kebakaran: 116 pelajar SMA Tarbiah Diniah terima bantuan RM500 seorang – Saifuddin Nasution

am@hmetro.com.my

Kulim: Kerajaan menyalurkan bantuan tunai segera RM500 kepada setiap daripada 116 pelajar yang terjejas akibat kebakaran asrama di Sekolah Menengah Agama (SMA) Tarbiah Diniah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sebahagian pelajar ditemuinya memaklumkan mereka tinggal sehelai sepinggang selepas semua barangan peribadi musnah dalam kebakaran berkenaan.

“Bantuan ini diharap dapat meringankan beban mereka untuk mendapatkan semula kelengkapan sekolah.

“Dengan persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya turut memohon peruntukan segera RM200,000 bagi pembinaan bangunan sementara, sementara urusan pembinaan asrama baharu dilaksanakan selepas siasatan punca kebakaran selesai,” katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi kebakaran asrama di Sekolah Menengah Agama (SMA) Tarbiah Diniah, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pejabatnya turut menyalurkan bantuan tunai RM10,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah bagi membantu pengurusan kebajikan pelajar.

Katanya, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga akan menghantar van bergerak Program MEKAR ke sekolah itu dalam masa terdekat bagi menggantikan MyKad pelajar yang musnah dalam kebakaran.

“Proses penggantian MyKad mengambil masa kira-kira 15 hingga 20 minit dan semua pelajar yang terjejas akan diberikan penggantian secara percuma tanpa dikenakan sebarang bayaran.

“Buat sementara waktu sebahagian pelajar diberikan pelepasan pulang ke rumah masing-masing bagi memberi ruang kepada pihak sekolah menyusun semula penempatan asrama yang masih selamat digunakan sementara menunggu pembinaan bangunan sementara,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi semalam, sebuah bangunan asrama lelaki dua tingkat sekolah berkenaan terbakar sehingga memusnahkan kira-kira 65 peratus daripada keseluruhan struktur tingkat atas bangunan.

Sementara itu beliau berkata, polis akan memperkukuh pemantauan di sekolah bertujuan menangani kes buli bagi memastikan institusi pendidikan kekal sebagai tempat yang selamat untuk pelajar.

Menurutnya, walaupun isu pendidikan berada di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), namun Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengambil tindakan sewajarnya jika ia membabitkan aspek keselamatan.

“Selain menempatkan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) yang terdiri daripada pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) atau balai berhampiran, pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) turut ditempatkan di sekolah bagi membantu memantau pelbagai isu termasuk kes buli.

“Sama ada insiden buli atau pelajar terjatuh seperti yang berlaku di Kuala Nerang baru-baru ini yang masih dalam siasatan polis, semuanya termasuk dalam tanggungjawab berkaitan keselamatan sekolah.

“Tujuan penempatan Pegawai Perhubungan Sekolah ialah untuk mendampingi pihak sekolah, ibu bapa dan pelajar menerusi pelbagai program libat urus supaya sekolah kekal menjadi tempat yang selamat tanpa ibu bapa perlu bimbang,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kejadian kes buli di sekolah termasuk membabitkan pelajar sekolah di Cheras baru-baru ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top