Le Clos muncul raja pingat Komanwel

Le Clos muncul raja pingat Komanwel

Glasgow: Perenang legenda Afrika Selatan, Chad le Clos mencipta sejarah apabila muncul atlet lelaki paling berjaya dalam sejarah Sukan Komanwel selepas meraih pingat ke-19 menerusi acara renang 4×100 meter (m) gaya bebas lelaki.

Le Clos, 34, membantu Afrika Selatan memenangi gangsa sekali gus memintas dua penembak, Phil Adams dari Australia dan Mick Gault dari England yang masing-masing mengumpul 18 pingat.

“Saya sepatutnya menangis kerana emas, bukannya gangsa, tetapi pencapaian ini amat bermakna buat saya,” katanya.

Gangsa itu menjadikan koleksi pingat Sukan Komanwelnya kini berjumlah 19, terdiri daripada tujuh emas, empat perak dan lapan gangsa.

Le Clos masih berpeluang menambah koleksi pingat apabila bakal beraksi dalam acara 50m dan 100m kuak kupu-kupu di Pusat Akuatik Tollcross.

Dia membuat penampilan sulung di Sukan Komanwel pada edisi New Delhi 2010 ketika berusia 18 tahun dan meraih lima pingat.

Glasgow 2026 adalah penampilan kelimanya di temasya ini.

Sepanjang karier cemerlangnya, Le Clos turut memenangi empat pingat Olimpik termasuk satu emas, selain merangkul 16 gelaran dunia, kebanyakannya dalam acara kuak kupu-kupu.

Dia juga menyasarkan untuk beraksi di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 yang dijangka menjadi penampilan Olimpik kelimanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top