MCMC tumpaskan sindiket SMS penipuan guna BTS palsu

MCMC tumpaskan sindiket SMS penipuan guna BTS palsu

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menumpaskan satu lagi sindiket penipuan digital yang menggunakan Stesen Pangkalan Palsu (FBTS) bagi menghantar pesanan ringkas (SMS) penipuan kepada orang ramai.

Dalam operasi di sekitar Johor Bahru, Jumaat lalu, seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun ditahan selepas dikesan memandu kenderaan yang dilengkapi peralatan BTS.

MCMC dalam kenyataan berkata, BTS palsu ialah peralatan komunikasi tidak standard yang meniru isyarat rangkaian mudah alih.

Katanya, peralatan itu membolehkan SMS dihantar terus ke telefon pengguna tanpa melalui rangkaian rasmi penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

Menurut MCMC, kaedah itu menyebabkan mesej penipuan atau penyamaran kelihatan seolah-olah dihantar oleh pihak yang sah, sekali gus memudahkan sindiket memperdaya mangsa.

“Siasatan awal kes tangkapan di Johor Bahru baru-baru ini mendapati sindiket ini dipercayai menyasarkan kawasan tumpuan awam terutama pada waktu puncak bagi memaksimumkan penghantaran SMS penipuan.

“Selain itu, turut dirampas sebanyak empat unit modul GSM (Global System for Mobile Communications) yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut serta merakam empat percakapan individu bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta Peraturan 16(1)(b), Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.

Setakat pertengahan 2026, MCMC sudah melaksanakan lima operasi khas membanteras kegiatan BTS palsu, membabitkan dua operasi di Johor dan tiga operasi di Genting Highlands.

Dalam perkembangan sama, MCMC berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan PDRM memperhebat operasi bagi membanteras penyalahgunaan frekuensi radio dan infrastruktur telekomunikasi untuk tujuan penipuan serta jenayah.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak menekan sebarang pautan SMS yang mencurigakan, tidak berkongsi maklumat perbankan atau maklumat peribadi tanpa membuat semakan melalui saluran rasmi.

“Segera melaporkan sebarang SMS yang mencurigakan kepada pihak berkuasa atau penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi membolehkan tindakan segera diambil,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top