Kuala Lumpur: Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil merakamkan ucapan tahniah kepada jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang atas kejayaan merangkul pingat emas pada Sukan Komanwel Glasgow 2026, awal pagi tadi.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau menyifatkan atlet yang mendapat jolokan The Pocket Rocketman itu sebagai kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.
“Tiada kata mampu menggambarkan betapa bangganya kita melihat segala kejayaan yang dilakar insan hebat ini.
“Bertahun-tahun membawa nama Malaysia pada pentas dunia, jatuh dan bangkit, berjuang tanpa pernah mengenal erti menyerah. Tahniah, Dato’ Azizul,” katanya.
Terdahulu, Mohd Azizulhasni meraih emas acara keirin lelaki di Velodrom Sir Chris Hoy, Glasgow awal pagi tadi waktu Malaysia.
Pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu mengatasi pelumba Australia, Leigh Hoffman dan wakil England, Harry Ledingham-Horn, yang masing-masing meraih perak dan gangsa.
Seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom menamatkan saingan di ada tempat ketujuh.
© New Straits Times Press (M) Bhd




