'Hanya kenderaan suami ditemukan sehari selepas dia hilang'

'Hanya kenderaan suami ditemukan sehari selepas dia hilang'

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: “Sudah empat hari suami gagal dihubungi, hanya kenderaan pelbagai guna (MPV) miliknya ditemukan berhampiran sebuah bangunan pusat beli-belah di Skudai yang sepi,” kata seorang suri rumah dikenali sebagai Chan.

Chan, 32, berkata, kali terakhir dia berkomunikasi dengan suaminya, Low Kai Xian, 39, pada tengah hari Rabu lalu, namun suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan.

Menurutnya, Kai Xian menyatakan masih menunggu seseorang di sebuah kedai makan di Jalan Sutera Tanjung, Taman Sutera, di sini.

Katanya, suaminya langsung tidak dapat dihubungi selepas 2 petang hingga menimbulkan kebimbangan keluarga.

“Mengikut rekod, masa pengaktifan WhatsApp suami hanya sehingga 2.30 petang Rabu lalu.

“Kami semakin bimbang apabila hanya kenderaan, Toyota Vellfire warna hitam bernombor pendaftaran VFD33 ditemukan pada pagi 30 Julai namun dashcam pada kenderaan berkenaan juga sudah tiada.

“Sebelum ini dia tidak pernah menyatakan menerima ugutan atau sebagainya,” katanya.

Chan berkata, kali terakhir ketika keluar rumah, suaminya memakai kemeja-T putih dan berseluar biru.

Menurutnya, suaminya merupakan seseorang yang sentiasa sibuk namun tidak pernah meninggalkan kediaman tanpa pengetahuan keluarga.

Katanya, keluarganya membuat laporan polis di Balai Polis Skudai dan turut menjalankan usaha bagi menjejaki teman hidupnya itu.

“Kami juga sudah menghubungi kenalan, saudara-mara dan rakan niaga suami namun sehingga kini tiada sebarang perkembangan berkaitan suami.

“Kami berharap pihak polis menjalankan siasatan terhadap pengaduan kami supaya dapat menjejaki suami.

“Kami juga merayu kepada orang ramai yang memiliki maklumat berkaitan suami supaya tampil menghubungi kami di talian 012-7919099 atau 016-7771966,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top