FIFA akur bantahan, pelan jual pegangan Piala Dunia berkubur

FIFA akur bantahan, pelan jual pegangan Piala Dunia berkubur

London: FIFA akhirnya membatalkan cadangan menjual 20 peratus pegangan dalam sebuah subsidiari yang bakal menguruskan semua kejohanan di bawah badan induk bola sepak dunia itu termasuk Piala Dunia, selepas berdepan tentangan hebat daripada konfederasi benua diketuai UEFA.

Keputusan itu dibuat selepas semua negara anggota UEFA sebulat suara bersetuju memboikot semua kejohanan FIFA sekiranya cadangan itu diteruskan, selain menerima bantahan daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Konfederasi Bolasepak Amerika Utara, Amerika Tengah dan Caribbean (CONCACAF).

Kronologi kontroversi: 28 Julai FIFA mengumumkan rancangan menubuhkan subsidiari bernilai AS$20 bilion (RM85.6 bilion) untuk mengendalikan Piala Dunia serta kejohanan lain, dengan sasaran mengumpul AS$4.2 bilion (RM18 bilion) menerusi penjualan 20 peratus pegangan kepada pelabur luar.

UEFA terus mengkritik cadangan itu dengan menyifatkan ia melangkaui batas tadbir urus bola sepak.

“Tiada siapa memiliki bola sepak. Ia bukan milik FIFA untuk dijual,” tegas UEFA.

29 Julai CONCACAF memaklumkan ia tidak dirujuk sebelum cadangan diumumkan dan melahirkan kebimbangan terhadap kegagalan FIFA mengikut proses tadbir urus yang sewajarnya.

AFC turut menyuarakan rasa kecewa kerana cadangan sebesar itu dibentangkan tanpa rundingan awal bersama konfederasi.

AFC menegaskan sebarang inisiatif seumpama itu mesti berasaskan prinsip tadbir urus baik, ketelusan dan perundingan bermakna.

Akhbar The Times melaporkan Presiden FIFA, Gianni Infantino, menghantar surat kepada semua ahli menawarkan AS$40 juta (RM171 juta) setiap persatuan sekiranya cadangan diluluskan sebelum 19 September.

Laporan itu turut mendakwa jika cadangan ditolak, jumlah agihan akan kembali kepada AS$2.7 bilion (RM11.6 bilion) berbanding pakej AS$10 bilion (RM42.8 bilion) yang ditawarkan.

30 Julai Negara anggota UEFA mengadakan mesyuarat tergempar secara maya dan sebulat suara bersetuju memboikot semua kejohanan FIFA jika pelan itu diteruskan.

UEFA menegaskan Piala Dunia bukan produk pelaburan dan tidak boleh diserahkan kepada pelabur swasta.

CONCACAF turut mengadakan mesyuarat khas sebelum menolak cadangan FIFA, manakala Persekutuan Bolasepak Mexico memutuskan untuk meneliti terlebih dahulu sebelum menentukan pendirian.

Presiden AFC, Sheikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa, menyifatkan kegagalan FIFA berunding dengan konfederasi sebagai sesuatu yang “langsung tidak boleh diterima”, selain mendakwa tindakan unilateral itu menjejaskan asas kerjasama dan solidariti bola sepak dunia.

31 Julai FIFA pada mulanya memaklumkan proses konsultasi tetap akan diteruskan sambil mendakwa laporan media mengganggu proses tersebut.

AFC kemudian mengumumkan sokongan penuh terhadap pendirian UEFA dan CONCACAF serta memberi amaran kemungkinan boikot Piala Dunia tidak sepatutnya berlaku.

Penasihat kanan Infantino, Carlos Cordeiro, meletakkan jawatan sebagai bantahan terhadap cadangan itu sambil menyifatkannya sebagai “urusan yang buruk untuk bola sepak”.

Beberapa jam kemudian, Infantino mengesahkan FIFA menarik balik sepenuhnya cadangan berkenaan selepas mengakui ia telah mencetuskan perpecahan yang tidak lagi selari dengan objektif asal badan induk itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top