Jangan ulang insiden Dataran Merdeka! Hannah Yeoh seru pengunjung Hari Kebangsaan jaga kebersihan

Jangan ulang insiden Dataran Merdeka! Hannah Yeoh seru pengunjung Hari Kebangsaan jaga kebersihan

Orang ramai yang hadir memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini digesa mengamalkan sikap bertanggungjawab dengan membuang sampah di tempat disediakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pihaknya tidak mahu kejadian lambakan sampah seperti yang berlaku di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur baru-baru ini berulang pada sambutan berkenaan.

“Menjaga kebersihan adalah tanggungjawab bersama bukan semata-mata tanggungjawab Perbadanan Putrajaya (PPj) untuk mengutip sampah selepas sesuatu acara.
“Bayangkan kita datang meraikan sambutan Hari Kebangsaan, tetapi apabila pulang kawasan dipenuhi sampah. Saya rasa itu tidak manis dan saya menyeru semua yang hadir supaya membuang sampah di tempat yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program MADANI KITA (PMK) bersama komuniti Wilayah Persekutuan Putrajaya, di sini hari ini yang turut dihadiri Presiden PPj, Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir.

Hannah berkata, pihaknya kini memberi keutamaan kepada usaha meningkatkan kesedaran awam selain percaya orang ramai mengambil iktibar daripada insiden lambakan sampah di Dataran Merdeka sebelum ini.

Menurutnya, PPj juga akan menambah kemudahan tong sampah di lokasi bersesuaian serta meningkatkan kekerapan kutipan sampah bagi memastikan kawasan sambutan kekal bersih dan selesa.

“Saya juga akan pastikan PPj membuat peringatan atau pengumuman kepada semua yang hadir (untuk kutip sampah). Ini adalah tanggungjawab bersama bukan tanggungjawab pihak berkuasa tempatan sahaja untuk mengutip ampah selepas acara,” katanya.

Pada majlis sama, Hannah turut menyampaikan cek cura sumbangan khas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjumlah RM5,000 kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) terpilih.

Artikel lain: Bayar cukai bukan lesen buang sampah sesuka hati! Hannah Yeoh mahu rakyat ubah sikap, jaga kebersihan

Sebelum ini, pada 20 Julai lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan kerja pembersihan dilakukan di Dataran Merdeka selepas kawasan itu dipenuhi sampah sarap susulan perhimpunan ribuan penyokong yang menyaksikan siaran langsung perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026.

DBKL menegaskan kebersihan ibu negara tidak seharusnya hanya bergantung kepada petugas pembersihan selepas sesuatu acara, sebaliknya menjadi tanggungjawab bersama semua pihak.

Sambutan Hari Kebangsaan 2026 dijadualkan berlangsung di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos dalam skala sederhana tetapi meriah dengan tema Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati, manakala logo Malaysia MADANI dikekalkan sebagai logo rasmi sambutan sehingga tahun depan.

Sumber: BERNAMA

Scroll to Top