redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kajang: Isu anjing liar perlu dilihat secara menyeluruh dan diselesaikan melalui pendekatan yang mampan tanpa meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) semata-mata.
Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Farhan Haziq Mohamed berkata, tindakan menuding jari kepada PBT semata-mata bukanlah penyelesaian.
Sebaliknya, Farhan Haziq percaya semua pihak perlu memikul tanggungjawab masing-masing agar isu berkenaan dapat ditangani secara berkesan, berperikemanusiaan dan mampan demi kesejahteraan rakyat serta kebajikan haiwan.
“Hakikatnya, masalah anjing liar berpunca daripada pelbagai faktor antaranya tindakan pemaju dan pemilik kilang yang membawa haiwan itu bagi mengawal kawasan di bawah kendalian mereka.
“Haiwan itu kemudiannya ditinggalkan atau dilepaskan setelah projek selesai hingga terjadinya isu anjing liar.
“Selain itu, terdapat juga individu yang memberi makan kepada anjing liar atas dasar ihsan tetapi tidak mengambil tanggungjawab terhadap pelesenan, kebajikan dan kawalan pembiakan haiwan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Farhan Haziq berkata, kebanyakan PBT berdepan kekangan kewangan, sumber manusia dan peralatan untuk melaksanakan program tangkap, kembiri atau mandul dan lepas (NTR) secara menyeluruh.
Justeru, isu pengurusan anjing liar tidak boleh dilihat sebagai tanggungjawab PBT sahaja sebaliknya memerlukan komitmen bersama kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, jabatan perkhidmatan veterinar, pemaju, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat.
Menurut beliau, beberapa langkah perlu diberi perhatian bagi memastikan isu itu ditangani secara lebih berkesan khususnya.
Katanya, langkah pertama, kerajaan Selangor misalnya perlu menggubal dasar pengurusan anjing liar negeri menerusi penyediaan garis panduan yang jelas supaya semua PBT (di Selangor) mempunyai pendekatan yang lebih seragam, tersusun dan berkesan.
“Langkah kedua adalah dengan menubuhkan jawatankuasa khas pengurusan anjing liar negeri membabitkan kerajaan negeri, jabatan perkhidmatan veterinar, pemaju, pertubuhan bukan kerajaaan (NGO) kebajikan, pemaju dan agensi berkaitan bagi menyelaras dasar, operasi, penguatkuasaan, pendidikan masyarakat serta pelaksanaan program NTR di seluruh Selangor.
“Seterusnya, isu dapat ditangani dengan penyediaan dana khas pengurusan anjing liar oleh kerajaan negeri bagi membantu PBT melaksanakan program NTR termasuk mendapatkan perangkap dan peralatan operasi, latihan anggota penguat kuasa serta kos berkaitan pengurusan.
“Keempat adalah dengan menguatkuasakan garis panduan buat pemaju yang menggunakan anjing di tapak projek pembinaan dan kilang,” katanya.
Tambah Farhan Haziq, kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga perlu menyediakan pelan induk pengurusan anjing liar di negara ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




