PDRM sedia tempatkan anggota dalam AVSEC di lapangan terbang

PDRM sedia tempatkan anggota dalam AVSEC di lapangan terbang

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia memberi komitmen penuh dalam menjayakan keputusan kerajaan untuk menempatkan anggotanya dalam Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) di lapangan terbang negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya mengambil maklum dan menyambut baik keputusan Jemaah Menteri berhubung penambahbaikan segera terhadap kawalan keselamatan penerbangan negara termasuk pembabitan anggotanya dalam AVSEC.

Menurutnya, pihak bersedia memberikan komitmen dan kerjasama sepenuhnya dalam menjayakan keputusan berkenaan.

“PDRM bersama Kementerian Dalam Negeri, KementerianPengangkutan dan agensi berkaitan sedang memperincikan mekanisme pelaksanaannya termasuk skop penugasan, lokasi penempatan, keperluan sumber manusia, bidang tanggungjawab serta penyelarasan operasi,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau berkata, PDRM berpandangan pembabitan pasukannya dalam ekosistem keselamatan penerbangan akan memperkukuh keupayaan perkongsian risikan dan pengesanan awal.

Katanya, ia termasuk penyelarasan penguatkuasaan serta tindakan segera terhadap sebarang ancaman atau kegiatan jenayah yang cuba mengeksploitasi kemudahan dan prosedur penerbangan.

“Langkah ini akan menjadi sebahagian daripada sistem keselamatan yang lebih menyeluruh dan berlapis, merangkumi pengukuhan kawalan akses, prosedur saringan, pemeriksaan keselamatan, penilaian risiko serta kerjasama strategik antara semua agensi dan pihak berkepentingan.

“Pelaksanaan kawalan keselamatan yang lebih ketat, bersepadu dan berasaskan risikan diyakini mampu memperkukuh keupayaan pencegahan, mengurangkan risiko serta menutup ruang yang berpotensi dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Mohd Khalid berkata, pihaknya memberi jaminan keselamatan penerbangan dan keselamatan pintu keluar dan masuk negara akan terus diberikan keutamaan.

“Sebarang cubaan menggunakan industri penerbangan sebagai saluran kegiatan jenayah tidak akan dikompromi,” katanya.

Media melaporkan, kerajaan mengarahkan beberapa penambahbaikan segera dilaksanakan termasuk menempatkan anggota PDRM dalam AVSEC susulan kes penahanan juruterbang Malaysia Airlines di Indonesia, minggu lalu kerana disyaki menyeludup dadah.

Terdahulu, seorang juruterbang syarikat penerbangan komersial Malaysia dilaporkan ditahan kerana disyaki cuba menyeludup lebih 25 kilogram pil ekstasi ke Indonesia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada 28 Julai lalu.

Pemeriksaan itu menemukan 14 bungkusan yang mengandungi 70,114 pil ekstasi dengan berat 25.19 kilogram. Pegawai turut menemui 2.7 gram methamphetamine dalam sebuah beg galas hitam

Hari ini media melaporkan, tiga wanita rakyat Malaysia ditahan bersama dadah dalam pemeriksaan kastam di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Jakarta di Indonesia pada Isnin lalu.

Kejadian itu berlaku di Terminal 2F Ketibaan Antarabangsa Lapangan Terbang Soekarno-Hatta dan pesawat yang membawa tiga penumpang wanita itu datang dari Kota Kinabalu.

Semalam media turut dilaporkan berkuasa Indonesia menahan seorang lelaki Malaysia berusia 22 tahun selepas didakwa menemui hampir satu kilogram methamphetamine dan lebih 1,000 pil ekstasi yang disembunyikan di bawah korset dipakainya di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda di Sidoarjo.

Suspek yang dikenal pasti dengan inisial DI, ditahan di Terminal 2 selepas tiba dengan penerbangan Batik Air OD352 dari Kuala Lumpur ke Surabaya, kata pihak berkuasa pada Isnin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top