suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyambut baik kaedah baharu proses kenaikan pangkat warga pasukan itu yang dijangka memberi nafas baharu terhadap perkembangan kerjaya pegawai dan anggota.
Kaedah baharu berkenaan dijangka diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan Ambang Merdeka di Stadium Merdeka pada 30 Ogos ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, perkembangan itu amat dinantikan seluruh warga PDRM selain mencerminkan perhatian kerajaan terhadap mereka yang memikul amanah menjaga keamanan, keselamatan dan ketenteraman awam.
“Bagi pihak seluruh warga PDRM, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri serta seluruh kepimpinan Kerajaan Malaysia atas perhatian dan keprihatinan yang diberikan terhadap pembangunan serta kemajuan kerjaya warga pasukan keselamatan negara.
“PDRM percaya sebarang penambahbaikan terhadap laluan dan kemajuan kerjaya warga pasukan akan memberikan impak positif terhadap motivasi, moral serta profesionalisme pegawai dan anggota dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Beliau berkata, PDRM akan menunggu pengumuman lanjut berhubung kaedah baharu itu dan memberi komitmen untuk bekerjasama dalam pelaksanaan langkah berkenaan.
Katanya, komitmen kerajaan ini menjadi suntikan semangat kepada seluruh warga PDRM untuk terus memperkukuh integriti dan meningkatkan profesionalisme.
“Ia sekali gus memberikan perkhidmatan kepolisian terbaik demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta negara,” katanya.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, proses kenaikan pangkat warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dipermudah dan dipercepatkan supaya lebih hampir setara dengan skim perkhidmatan awam lain.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, kini sedang giat meneliti mekanisme pelaksanaan perkara itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




