Tehran: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian mengadakan pertemuan dengan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Mojtaba Khamenei yang tidak lagi muncul secara terbuka sejak memegang jawatan itu pada awal perang di Asia Barat, menurut pejabat Khamenei, semalam.
“Dr Masoud Pezeshkian bertemu dengan Ayatollah Mojtaba Khamenei dan mengadakan perbincangan dengannya sempena permulaan tahun ketiga pentadbiran beliau,” kata pejabat Pemimpin Tertinggi itu dalam satu kenyataan tanpa menyatakan tarikh pertemuan berkenaan.
Pezeshkian yang mula memegang jawatan pada Julai 2024 sebelum ini pernah memaklumkan pada awal Mei bahawa beliau ada bertemu dengan Khamenei. Bagaimanapun, pejabat Pemimpin Tertinggi tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pertemuan itu pada waktu berkenaan.
Presiden itu pada Rabu memaklumkan hubungan dengan Khamenei “sangat sukar ketika ini”. Kenyataan itu mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai tahap kesihatan Pemimpin Tertinggi berkenaan selepas beliau dilaporkan cedera dalam serangan yang turut mengorbankan bapanya.
Pejabat Khamenei memaklumkan kedua-dua pemimpin itu membincangkan secara terperinci pelbagai isu serta cabaran negara termasuk situasi ketenteraan semasa serta prospek pada masa depan.
Iran sebelum ini mengadakan rundingan dengan Washington bagi menamatkan peperangan yang tercetus susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel pada Februari lalu.
Bagaimanapun, draf perjanjian awal dilaporkan gagal dimuktamadkan, manakala diplomat tertinggi Iran mengesahkan rundingan kini hanya diteruskan menerusi pertukaran mesej melalui perantara.
Semalam, agensi berita Tasnim memetik kenyataan seorang jeneral Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran yang memaklumkan gambar Khamenei bersama orang ramai dan ketika menghadiri sesi pertemuan akan diterbitkan pada masa akan datang, namun tidak menyatakan sebarang garis masa.
© New Straits Times Press (M) Bhd


