Muhasabah diri demi bina kehidupan lebih berjaya pada masa depan

syafil.syazwan@hmetro.com.my

PADA usia 35 tahun, pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz kini enggan lagi membuang masa menoleh ke belakang atau melayan persepsi negatif.

Sebaliknya, selebriti kelahiran Singapura ini memilih untuk memberikan fokus sepenuhnya kepada muhasabah diri, memperbaiki kelemahan serta melangkah ke hadapan dengan penuh kesyukuran.

Bagi Aliff, definisi perkataan ‘kemunculan semula’ atau comeback kini membawa maksud yang berbeza.

Ia bukan lagi mengenai pandangan masyarakat di luar, tetapi lebih kepada proses mencari ketenangan dan keredaan dalam diri sendiri.

“Erti comeback buat masa sekarang adalah saya lebih melihat ke dalam (inwards). Apa perkara yang saya boleh perbaiki, jujur dengan diri sendiri dan memaafkan kelakuan pada masa silam. Hanya dengan cara itu saya boleh melangkah ke hadapan.

“Saya dah umur 35 tahun dan mahu menghabiskan sisa kehidupan dalam industri atau kehidupan secara umumnya dengan benda-benda positif. Bila fokus ke dalam, saya tak ada masa nak fikir apa orang cakap.

“Pendapat orang saya terima dengan hati terbuka. Yang baik saya ambil, yang tak baik saya biarkan kerana setiap orang berhak atas pendapat mereka,” katanya.

Menggunakan analogi umpama memandu sebuah kenderaan, Aliff berkongsi pesanan seorang sahabat yang memintanya agar tidak terlalu lama memandang cermin pandang belakang jika mahu terus selamat memandu ke hadapan.

“Mungkin sebelum ini saya tengok cermin belakang terlalu lama, sebab itu kerap ‘kemalangan’. Sekarang saya tengok cermin itu sekadar untuk mengingatkan diri.

“Kebelakangan ini saya cuba hidup optimistik, kekal sihat dengan kerap ke gimnasium dan menjaga pemakanan. Apa yang penting, doa ayah, ummi, sokongan adik-beradik serta rakan jemaah dan rakan industri menjadi benteng kebal saya,” katanya.

Bercakap mengenai perkembangan kerjaya, rezeki Aliff tampak terus mengalir selepas selesai menjayakan projek drama bersiri untuk platform penstriman digital iQIYI menerusi naskhah Madu Atau Racun.

Tidak berhenti di situ, jawapan doa Aliff untuk kembali berkarya akhirnya terbukti apabila dia dipilih memegang watak utama sebagai Sultan Mansur Shah dalam pementasan teater muzikal Mansur & Liu.

Pementasan arahan maestro muzik, Datuk M Nasir ini adalah pembabitan teater pertama dalam kerjaya seninya.

“Waktu pertama kali ditawarkan uji bakat, saya memang ada rasa ragu-ragu. Benda ini sangat besar dan mencabar.

“Namun, selepas berbincang dengan adik saya, Aisyah yang pernah berlakon teater di Singapura serta mendapat restu ummi dan ayah, saya bulatkan hati untuk pergi uji bakat tanpa meletakkan sebarang harapan.

“Apabila dapat tawaran ini, ia satu penghormatan dan penghargaan besar. Dapat pula bekerjasama dengan Datuk M Nasir dan Datin Marlia Musa serta barisan pelakon teater yang sangat hebat dan tidak lokek ilmu.

“Dalam teater ini, tiada istilah bersantai seperti penggambaran TV kerana kita sentiasa kena berada dalam watak (in character),” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai wataknya, Aliff berkata, pementasan teater muzikal ini memerlukan komitmen tinggi termasuk lontaran dialog menerusi lapan buah lagu, pergerakan seni silat, tarian dan ekspresi wibawa seorang raja.

Mengulas mengenai bimbingan M Nasir, Aliff menyifatkan figura legenda itu seperti seorang bapa yang sangat berwibawa walaupun hemat berkata-kata.

“Masa uji bakat, Datuk (M Nasir) cuma berikan kata-kata hikmat yang ringkas. Dia kata, ‘Tak apa Aliff, cuba sahaja. Benda ini senang sahaja, kau bayangkan kau jadi raja’.

“Walaupun nampak ringkas, ia sebenarnya memulakan langkah untuk saya mencabar diri. Langkah pertama itu paling penting.

“Kadang-kadang peluang datang pada waktu kita tak bersedia, jadi kita kena ‘terjun’ sahaja dan buat.

“Kalau salah, dari situ kita belajar. Saya bersyukur diberikan kepercayaan ini dan akan berikan 150 peratus fokus demi pementasan ini,” katanya.

Teater muzikal Mansur & Liu akan dipentaskan di Istana Budaya pada 10 hingga 20 September 2026.

Ia turut dibintangi barisan pelakon antaranya Melinda Dadew sebagai Puteri Liu, Amerul Affendi, Sherry Alhadad, Hazama, Taqim Zaki, Brian Chan, Fadhli Masoot, Anas Ridzuan, Arena Wan, Ruzana Ibrahim, Fiza Thomas, Taufiq Izmir, Marzuki Noh dan Shahrul Mizad.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top