9 senapang, pistol tiruan dirampas bersama 23 peluru kapur

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis rampas sembilan senjata api tiruan dan 23 butir peluru dipercayai peluru kapur yang dibuang di satu lokasi di Brickfields, di sini.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, rampasan itu membabitkan lima laras senapang, empat pistol termasuk sepucuk revolver.

“Kesemua 23 butir peluru yang dirampas itu juga dipercayai peluru kapur.

“Berdasarkan siasatan, senjata berkenaan dibuang pada 11 Ogos 2026 antara 2.30 petang hingga 3 petang,” katanya kepada Harian Metro, di sini, hari ini.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pemilik senjata api tiruan berkenaan termasuk tujuan senjata itu dikumpul dan dibuang.

“Setakat ini, identiti pemilik senjata itu sedang dikesan dan masih dalam siasatan.

“Begitu juga dakwaan pemiliknya memandu sebuah kereta warna putih sebelum membuang senjata berkenaan, perkara itu masih dalam siasatan,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan diklasifikasikan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Inspektor Shasthry di talian 012-5521394.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top