Malaysia, Arab Saudi meterai MOU perkukuh kerjasama dalam bidang kehakiman

Putrajaya: Malaysia dan Arab Saudi hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang kehakiman.

MoU berkenaan ditandatangani oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Azhaniz Teh Azman Teh dan Menteri Kehakiman Arab Saudi Sheikh Dr Waleed Mohammed Alsmani di Istana Kehakiman, di sini.

Majlis yang diadakan bersempena dengan lawatan rasmi Sheikh Dr Waleed ke Malaysia itu disaksikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, MoU itu menyediakan rangka kerja untuk kerjasama yang lebih erat dalam bidang termasuk pengurusan kes sivil, teknologi dan pendigitalan kehakiman, pertukaran pengalaman praktikal serta maklumat kehakiman yang boleh diakses secara umum, lawatan institusi dan pertukaran berkala.

Kenyataan itu memaklumkan MoU berkenaan juga menandakan pencapaian penting dalam hubungan kehakiman Malaysia–Arab Saudi dengan menyediakan platform berstruktur bagi penglibatan institusi yang lebih erat, perkongsian pengetahuan dan kerjasama berterusan ke arah pentadbiran keadilan yang cekap.

“Kehakiman Malaysia menantikan pelaksanaan bidang kerjasama yang digariskan dalam MoU dengan jayanya dan usaha untuk terus memperkukuh hubungan yang telah lama terjalin antara Malaysia dengan Arab Saudi,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, kenyataan tersebut memaklumkan bahawa lawatan rasmi ini mencerminkan hubungan baik yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara serta komitmen bersama untuk memperteguh kerjasama kehakiman dan perkongsian ilmu.

Program itu turut merangkumi kunjungan hormat terhadap Wan Ahmad Farid, diikuti dengan dialog kehakiman dan sesi perkongsian pengalaman yang menumpukan pendekatan kehakiman Malaysia bagi kesalahan seksual terhadap kanak-kanak dan pendigitalan kehakiman melalui sistem e-Kehakiman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top