Dua lelaki melecur, lori, forklift terbakar

am@hmetro.com.my

Lahad Datu: Dua lelaki melecur selepas sebuah lori 30 tan dan jentera berat terbakar di kawasan kilang pemprosesan ‘culvert’ di Jalan Kampung Kokos, Batu 5 Segama, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 20 tahun dilaporkan melecur 50 peratus, manakala seorang lagi lelaki berusia 40 tahun turut mengalami kecederaan melecur.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi MERS999 pada jam 3.49 petang sebelum enam anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi.

Katanya, sebaik tiba, pasukan mendapati kebakaran membabitkan sebuah lori 30 tan yang terbakar kira-kira 70 peratus, manakala sebuah forklift musnah sepenuhnya.

“Turut terjejas sebuah bangunan tidak kekal yang terbakar kira-kira lima peratus.

“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran ‘hose reel’ dengan sumber air daripada jentera bomba,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua mangsa sudah dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.09 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.50 petang selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian belum dikenal pasti,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top