Lelaki dikehendaki polis Singapura jadi mangsa culik di Johor

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Tindakan seorang banduan Singapura melarikan diri ke Johor mengundang padah apabila dia bersama teman wanitanya menjadi mangsa culik kenalannya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, mangsa berusia 32 tahun masuk ke Malaysia secara tidak sah sejak Mei lalu.

Menurutnya, mangsa adalah banduan menghilangkan diri dari Parol Singapura dan dikehendaki polis negara itu.

“Dia dipercayai menghubungi kenalannya bagi memaklumkan keberadaan di negara ini. Namun kenalannya itu yang kononnya mahu menyambutnya sebaliknya menculiknya bersama teman wanita serta melakukan pemerasan.

“Pada 10 Ogos lalu, polis Johor menerima laporan dari seorang wanita warga Singapura memaklumkan anak lelakinya (mangsa) diculik oleh suspek tidak dikenali di Johor Bahru.

“Mereka menuntut wang tebusan sebanyak SGD80,000 (RM255,396) dan hasil rundingan kemudian dikurangkan ke SGD25,000 (RM79,763).

“Keluarga mangsa membuat pemindahan SGD5,000 secara online dan baki wang tebusan iaitu SGD20,000 dijanjikan pada hari pembebasan mangsa,” katanya.

Kumar berkata, teman wanita mangsa yang juga warga Singapura berusia 33 tahun turut diculik dan dikurung bersama mangsa.

“Pasukan khas dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Johor ditubuhkan dan pada jam 6 petang pada 11 Ogos mereka menyerbu sebuah pasar raya di kawasan Nusa Bestari, Iskandar Puteri di sini.

“Dua mangsa iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan warga Singapura berjaya diselamatkan dan seorang lelaki warga tempatan berusia 40 tahun ditangkap ketika urusan untuk pembayaran wang tebusan sedang dijalankan.

“Kurang 48 jam mereka diselamatkan, mangsa lelaki dalam keadaan cedera di kedua-dua bahagian peha dipercayai kesan kelaran senjata tajam bagi menakutkan keluarga.

“Susulan penangkapan ini, beberapa siri serbuan dijalankan di kawasan Skudai dan berjaya menangkap empat lelaki dan seorang perempuan warga tempatan berusia antara 32 hingga 46 tahun,” katanya.

Menurutnya, semua suspek didapati memiliki rekod membabitkan kesalahan jenayah dan dadah.

“Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas semua suspek mendapati empat orang suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Malah kedua-dua mangsa culik juga didapati positif dadah jenis methamphetamine dan mereka dihantar ke hospital bagi menjalani pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata, barangan yang dirampas ketika serbuan termasuk wang tebusan SGD12,000 (RM38,330), wang tunai RM41,400 dipercayai wang milik mangsa, 10 telefon bimbit; rantai, jam tangan jenama Rolex dan kereta Perodua Axia berwarna merah dengan nilai keseluruhan rampasan adalah RM264,440.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penculikan 1961 iaitu menculik untuk wang tebusan, jika disabitkan kesalahan hendaklah dihukum dengan penjara tidak kurang dari tiga puluh tahun tetapi tidak melebihi empat puluh 40 tahun dan sebat.

“Permohonan reman di bawah seksyen 12 Akta Penculikan 1961 ke atas semua tangkapan dibenarkan selama 10 hari mulai 12 Ogos hingga 21 Ogos.

“Mangsa lelaki turut direman di bawah Akta Imigresen 1959/63 selama 14 hari mulai 12 Ogos sehingga 25 Ogos kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Manakala mangsa perempuan yang memasuki negara ini secara sah turut direman selama empat hari mulai 12 Ogos sehingga 15 Ogos kerana keputusan ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas mangsa positif dadah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top