BMW cuba lolos sekatan, rakyat Malaysia bawa 166kg syabu ditahan di Thailand

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Polis Thailand menahan rakyat Malaysia berusia 20 tahun dan merampas 166 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine kristal atau syabu bernilai lebih RM8 juta di Hua Hin, Wilayah Prachuap Khiri Khan, Thailand, Sabtu lalu.

Jurucakap keselamatan Thailand berkata, tangkapan itu dilakukan selepas polis memintas sebuah kereta BMW putih yang disyaki membawa dadah dari Bangkok menuju ke selatan Thailand.

Katanya, polis menahan kereta berkenaan di sekatan jalan raya Hua Hin kira-kira jam 12.30 tengah malam pada 8 Ogos selepas menerima maklumat mengenai kenderaan membawa sejumlah besar dadah yang akan melalui kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun, kereta BMW dengan nombor pendaftaran Bangkok itu cuba mengelak daripada melalui sekatan jalan raya ketika menghampiri lokasi berkenaan.

“Anggota polis kemudian mengejar kenderaan itu sebelum berjaya menahannya di luar sebuah kedai serbaneka berhampiran Hua Hin Grand.

“Pemandu berusia 20 tahun yang merupakan warga Malaysia kemudian ditahan,” katanya.

Menurut jurucakap itu, beberapa beg pakaian turut ditemui di dalam kenderaan berkenaan.

Suspek didakwa memberitahu polis bahawa beg pakaian itu bukan miliknya dan dia tidak mengetahui kombinasi nombor untuk membukanya.

Katanya, kenderaan dan suspek kemudian dibawa kembali ke sekatan jalan raya sebelum pemeriksaan dilakukan dengan persetujuan suspek.

“Hasil pemeriksaan mendapati beg pakaian itu mengandungi methamphetamine kristal seberat keseluruhan 166kg. Kereta berkenaan turut disita untuk dijadikan bahan bukti,” katanya.

Jurucakap itu berkata, rampasan berkenaan adalah hasil siasatan terhadap rangkaian pengedaran dadah yang disyaki menggunakan Hua Hin sebagai lokasi transit kenderaan membawa dadah ke selatan Thailand.

Siasatan polis Thailand mendapati dadah berkenaan bukan untuk diedarkan di Hua Hin, sebaliknya dipercayai dibawa ke Hat Yai dan tiga wilayah di selatan Thailand.

“Penghantaran itu dipercayai ditempah oleh seorang warga China yang berpangkalan di Bangkok dan terbabit dalam kegiatan perniagaan haram.

“Individu berkenaan didakwa mengarahkan kurier untuk menghantar dadah itu ke lokasi yang ditetapkan,” katanya.

Siasatan lanjut terhadap rangkaian pengedaran dadah terbabit masih dijalankan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top