firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva terus mencipta sejarah dalam saingan bola sepak tempatan apabila dinobatkan sebagai Pemain Import Terbaik Liga M Awards 2025-2026.
Kejayaan itu menyaksikan Bergson mempertahankan anugerah berkenaan buat kali keempat berturut-turut, sekali gus menjadikannya pemain import dengan rekod kemenangan terbanyak bagi kategori itu.
Lebih istimewa, pencapaian itu menyaksikan Bergson memintas rekod Marlon Alex James yang sebelum ini memenangi anugerah sama sebanyak tiga kali.
Dominasi Bergson musim ini turut dilengkapkan dengan kejayaan meraih Kasut Emas kategori Penyerang Import Terbaik selepas meledak 27 gol dalam saingan Liga Super.
Bergson mengatasi dua pencabar lain bagi kategori Pemain Import Terbaik iaitu penyerang Selangor FC, Chrigor Moraes serta tonggak Kuching City FC, Petrus Shitembi.
Kemenangan itu mengukuhkan lagi status Bergson sebagai antara pemain import paling berpengaruh dalam sejarah Liga Malaysia, terutama selepas beberapa musim tampil konsisten bersama JDT.
Sementara itu, anugerah Pemain Muda Terbaik menjadi milik pemain Penang FC, Haziq Kutty Abba.
Haziq Kutty mengatasi dua pencabar lain iaitu Aliff Izwan Yuslan dari Selangor FC dan Haziq Aiman Esa yang mewakili Melaka FC.
Walaupun hanya merekodkan satu gol pada musim lalu, Haziq Kutty tetap mencuri perhatian menerusi persembahan keseluruhannya sepanjang kempen 2025-2026.
Pengiktirafan itu menjadi satu pencapaian penting buat pemain muda Penang FC itu dan diharap menjadi pemangkin untuknya terus berkembang sebagai antara prospek bola sepak negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd
