Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mempertimbangkan untuk melantik pakar forensik dari luar negara bagi membantu siasatan berkaitan isu yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.
Akan tambah pegawai penyiasat
Memetik laporan daripada Buletin TV3, Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Abd Halim Aman menyatakan SPRM juga akan menambah pegawai penyiasat bagi meneliti dokumentasi serta bahan bukti yang diperoleh sepanjang siasatan dijalankan.
Menurut beliau, cadangan melibatkan pakar forensik asing itu masih dibincangkan di peringkat tertinggi ibu pejabat SPRM dan tertakluk kepada kos yang diperlukan.

Jumlah dokumentasi berkaitan kes amat banyak
Beliau menambah, kepakaran khusus diperlukan memandangkan jumlah dokumentasi berkaitan kes berkenaan amat banyak dan memerlukan penelitian terperinci.
“Kami masih lagi berbincang di peringkat ibu pejabat khususnya peringkat tertinggi, bagi melantik pakar forensik dari luar bagi membantu SPRM melakukan penyiasatan secara forensik terhadap apa jua dokumentasi dan bukti yang diperoleh bagi membantu penyiasatan.
“Perbincangan itu masih lagi berlangsung dan tentunya ia tertakluk kepada kos yang diperlukan kerana yang bakal dilantik itu adalah entiti asing yang memiliki kepakaran khusus selain pegawai penyiasat yang kami ada,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM Sarawak di sini, hari ini.

Abd Halim juga memaklumkan, penelitian terhadap dokumen dan bahan bukti memerlukan kepakaran serta kesabaran bagi memastikan setiap perkara berkaitan dapat diteliti secara menyeluruh.
Langkah berkenaan dilihat sebagai usaha SPRM memperkukuh siasatan terhadap isu yang dibangkitkan dalam laporan RCI Tabung Haji, khususnya membabitkan dokumentasi dan bukti yang memerlukan analisis forensik terperinci.
Sumber: Buletin TV3 (Mohd Roji Kawi)


