Dr Zulkifli lawat Balai Berita, teroka kerjasama hal ehwal agama dengan Media Prima

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menjalinkan kerjasama dengan Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) dalam beberapa aspek melibatkan hal ehwal agama Islam di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, ia melibatkan aspek halal, pendidikan Islam, fardu ain, pengurusan haji, kewangan sosial Islam dan pengurusan masjid.

“Ini adalah kali pertama saya menjejakkan kaki di Media Prima. Saya telah melawat kemudahan dan juga apa yang ada di Media Prima ini.

“Alhamdulillah, kita adakan perbincangan dan juga pertukaran idea. Saya melihat bahawa Media Prima punyai potensi yang sangat besar untuk adanya kerjasama dengan Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan bersama kepimpinan tertinggi MPB di Balai Berita Bangsar, hari ini.

Terdahulu, ketibaan Zulkifli bersama delegasinya disambut Pengerusi Kumpulan MPB, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid bersama-sama Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan MPB, Rosli Sabarudin dan Ketua Pegawai Operasi (Direct Solutions) Media Prima Omnia, Datuk Mohd Efendi Omar.

Turut hadir, Pengurus Besar Kumpulan, Pejabat Pengerusi Kumpulan dan Komunikasi Korporat Kumpulan MPB, Azlan Abdul Aziz; Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit; Pengarang Kumpulan Berita Harian, Zulkifli Jalil dan Ketua Kandungan Waktu Solat Malaysia, Muhamad Shaifullah Tayep.

Mengulas lanjut, Zulkifli turut menyifatkan pertemuannya bersama kepimpinan tertinggi MPB sangat produktif dan akan ada beberapa kerjasama yang akan dilakukan secara bersama selepas ini.

“Kita berharap bahawa kerjasama dengan Media Prima ini akan dapat memberikan manfaat kepada masyarakat dan rakyat Malaysia,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top