Pasukan produksi AJL40 sedia beri persembahan terbaik

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Biarpun berdepan kekangan masa, pasukan produksi Anugerah Juara Lagu Ke-40 (AJL40) optimis mampu memberikan yang terbaik pada malam kemuncak acara berprestij itu.

Pengurus Projek AJL40, Russell Mark Rodrigues berkata, pihaknya hanya diperuntukkan tempoh enam hari bagi tujuan latihan dan susunan pentas berbanding 12 hingga 14 hari pada edisi terdahulu berikutan tertakluk kepada jadual pengurusan stadium.

“Satu perkara yang membanggakan apabila pasukan produksi berjaya menyiapkan set, sistem pencahayaan dan bunyi di Unifi Arena Bukit Jalil dalam tempoh 48 jam sahaja.

“Masa memang agak padat dan ‘rehearsal’ bermula lewat sedikit. Namun, persiapan kini sudah mencapai sekitar 75 peratus dan kekangan ini membuatkan pasukan bekerja dengan lebih efisien,” katanya.

Bagi mengimbangi masa yang terhad, sesi latihan dibahagikan kepada dua atau tiga sesi dengan memperuntukkan tempoh satu jam bagi setiap finalis untuk menyemak pergerakan pentas serta aspek teknikal.

AJL40 bakal bersiaran secara langsung pada Sabtu ini, jam 9 malam di TV3 selain boleh distrim menerusi aplikasi Tonton.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top