Sistem e-Jamin beroperasi 5 tahun tanpa kontrak, RM130.8 juta wang jaminan dilabur – PAC

Sistem e-Jamin beroperasi 5 tahun tanpa kontrak, RM130.8 juta wang jaminan dilabur – PAC

KUALA LUMPUR – Sistem e-Jamin yang menguruskan bayaran wang jaminan mahkamah didapati beroperasi selama lima tahun tanpa sebarang kontrak rasmi dengan kerajaan.

Lebih membimbangkan, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendapati, sebanyak RM130.8 juta daripada baki wang jaminan berjumlah RM193.71 juta sehingga 31 Disember 2024, telah dilaburkan oleh syarikat pengendali sistem berkenaan, Dapat Vista Sdn Bhd.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pelaburan itu dibuat atas nama syarikat dan menjana faedah antara RM4 juta hingga RM5 juta setahun.

Menurut beliau, penemuan tersebut merupakan antara hasil empat prosiding jawatankuasa itu berhubung pengurusan perkhidmatan bayaran wang jaminan mahkamah melalui e-Jamin yang diadakan antara 4 November hingga 2 Disember 2025.

“Prosiding berkenaan melibatkan saksi daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Kewangan (MOF), Jabatan Peguam Negara (AGC), Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP), Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) serta Dapat Vista.

“PAC mendapati sistem e-Jamin telah beroperasi selama lima tahun tanpa Surat Pelantikan, Surat Setuju Terima (SST), Letter of Intent (LOI) mahupun perjanjian kontrak rasmi dengan kerajaan Persekutuan,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen, pada Isnin.

Menurut beliau, wang jaminan yang dibayar melalui sistem berkenaan pula dimasukkan ke dalam akaun komersial syarikat, sekali gus menimbulkan isu pematuhan undang-undang dan tatakelola kewangan kerajaan.

Malah jelasnya, kegagalan memperakaunkan wang berkenaan ke dalam Akaun Amanah Disatukan didapati melanggar Perkara 97(1) Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 7 Akta Tatacara Kewangan 1957.

“Pengurusan dana wang jaminan tidak mempunyai struktur pemegang amanah, bon pelaksana atau perlindungan insurans, meletakkan penjamin sebagai pemiutang biasa yang terdedah kepada risiko kewangan sekiranya syarikat muflis.

“Terdapat jurang perbezaan baki berjumlah RM557,258 antara rekod sistem e-Jamin dengan penyata bank syarikat yang masih belum disahkan,” katanya.

Sistem e-Jamin mula diperkenalkan susulan kajian Dapat Vista pada 2017 bagi memudahkan proses bayaran jaminan di mahkamah.

Sistem itu kemudiannya dilaksanakan secara Proof of Concept (POC) dengan persetujuan Ketua Hakim Negara sebelum digunakan di 192 mahkamah seluruh negara sejak 10 Januari 2020.

Sementara itu susulan penemuan berkenaan, Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah memaklumkan, PAC mengesyorkan lapan perkara untuk dilaksanakan kerajaan, termasuk menyegerakan perundingan bagi memuktamadkan perjanjian rasmi dengan Dapat Vista demi melindungi dana jaminan.

Selain itu katanya, kerajaan perlu memuktamadkan definisi ‘wang awam’ bagi mengelakkan kekeliruan antara agensi kerajaan dan pengurusan serta perakaunan wang jaminan wajib mematuhi Perkara 97(1) Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 4 dan Seksyen 7 Akta Tatacara Kewangan 1957.

Scroll to Top