Pendedahan cukup bermakna buat penuntut UKM

am@hmetro.com.my

Penganjuran Konsert Diraja Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2026 di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), baru-baru ini membuka ruang kerjasama lebih luas antara universiti awam (UA) itu dengan DFP dan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO).

Selain menjadi inisiatif mengumpul dana, kerjasama itu turut membuka ruang untuk meneroka pelbagai bidang berkaitan industri kreatif di samping pendedahan kepada pelajar dalam bidang seni persembahan.

Konsert bertemakan Simfoni Diraja: Legasi Irama Sepanjang Zaman itu menampilkan barisan penyanyi popular tanah air iaitu Datuk Zainal Abidin, Dayang Nurfaizah dan Nadeera Zaini.

Masing-masing mempersembahkan tiga lagu dengan iringan Orkestra Kuala Lumpur.

Selain itu, konsert berkenaan turut menonjolkan bakat seni pelajar UKM menerusi segmen Nusantara yang menampilkan Rifdy Khairy Kipli, Adam Harith Adam, Nur Fatin Alyana dan Ana Batrisha.

Persembahan eksklusif itu dikendalikan maestro jemputan, Datuk Johari Salleh yang bertindak sebagai penggubah muzik dan konduktor orkestra.

Dengan sentuhan magisnya, Johari turut memberikan gubahan baharu dan lebih segar menerusi Segmen Legenda Dunia yang mengangkat lagu popular kumpulan legenda Britain, The Beatles.

Segmen Legenda Malaysia pula mengetengahkan karya ikonik Allahyarham Tan Sri P Ramlee, sekali gus menjadi antara momen menarik pada konsert berkenaan.

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Sufian Jusoh berkata, konsert berkenaan menjadi acara persembahan pertama dianjurkan IPTA di dewan ikonik terbabit, sekali gus menjadi momen membanggakan.

“Ini adalah julung kalinya konsert sebuah universiti awam dipentaskan di DFP. Objektif yang lebih luas ialah untuk memastikan selepas ini kerjasama antara UKM dan DFP berjalan lancar.

“Kita merasakan melalui konsert ini, dapat meningkatkan kualiti seni persembahan di UKM, selain membolehkan pelajar membuat persembahan di dewan bertaraf dunia,” katanya.

Konsert Diraja UKM 2026 diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan merangkap Tuanku Canselor UKM, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat UKM, Prof Dr Bariah Mohd Ali serta Ketua Pegawai Eksekutif DFP dan MPO, Siti Azlina Abd Latif.

Dalam pada itu, Siti Azlina berkata, pihaknya berbesar hati dapat menjalin kerjasama dengan UKM dan tiga lagi UA dalam usaha mempromosikan muzik, seni serta budaya kepada masyarakat.

Menurutnya, kerjasama itu memberi ruang kepada pelajar dan golongan akademik memanfaatkan kemudahan serta kepakaran dimiliki DFP dan MPO sebagai platform pembelajaran dan pengembangan bakat.

“Kita sangat berbesar hati dapat bekerjasama dengan UA, khususnya UKM. Hasrat utama kita ialah untuk mempromosikan muzik, seni dan budaya.

“Saya rasa ini satu-satunya cara untuk kita menyumbang kembali kepada komuniti dan masyarakat.

“Kita membuka ruang kepada pelajar dan golongan akademia, selain membolehkan dewan serta pemuzik kita dijadikan sebagai platform,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top