nfazlina@nstp.com.my
Rantau Panjang: Polis Kelantan menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan seorang lelaki warga Thailand dan merampas 6,000 biji pil yaba bernilai RM60,000 di Jalan Kampung Rahmat-Lubok Stol, di sini, semalam.
Operasi dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Kelantan pada 7.30 malam hasil risikan dan maklumat awam.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, suspek yang ditahan berusia 45 tahun dipercayai aktif sejak awal tahun ini.
“Hasil pemeriksaan tubuh menemui satu bungkusan kertas kekuningan mengandungi 6,000 biji pil disyaki dadah jenis pil yaba bernilai RM60,000.
“Jumlah dadah yang dirampas mampu merosakkan seramai 6,000 penagih yang menggunakannya.
“Modus operandisindiket ini adalah menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok bagi kemasukan dadah dari negara jiran ke negeri ini sebelum dipasarkan sekitar Kelantan,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah amphetamine dan suspek todak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Sabtu ini. Kejayaan ini adalah hasil risikan berterusan JSJN Kelantan serta kerjasama orang awam,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
