am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Sebuah keluarga buntu apabila seorang ahli keluarganya hilang sejak 32 tahun yang lalu dan hingga kini tidak dapat dikesan lokasi sebenarnya berada.
Anak saudara, Nurul Azlim Wan Mat, 38, berkata, ibu saudaranya, Siti Esah Bakar, 54, hilang pada 11 Februari 1994, ketika tinggal di Johor Bahru.
Katanya, ketika hilang ibu saudaranya itu bekerja di sebuah kilang di Johor Jaya, Johor Bahru, bersama kakaknya, Kamariah.
“Sebelum hilang, ibu saudara saya keluar bekerja pada jam 9 malam dan sepatutnya pulang 7 pagi keesokannya. Namun sehingga kini, dia tidak pulang ke pangkuan keluarga.
“Menyedari kehilangan adiknya itu, ibu saudara yang juga kakak kepada Siti Esah bersama adik-beradiknya mencari ibu saudara dan juga membuat laporan polis.
“Namun, semua usaha itu menemui jalan buntu kerana sehingga kini tidak jumpa ibu saudara dan kami tidak tahu dia tinggal di mana,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurutnya, keluarganya juga mencari di platform media sosial termasuk Facebook dalam tempoh beberapa tahun yang lalu, tetapi tetap gagal menemui ibu saudaranya itu.
Katanya, ibu bapa Siti Esah yang mengharap kepulangan anaknya juga sudah meninggal dunia sejak beberapa tahun yang lalu.
“Kini tinggal adik-beradik dan anak saudara yang tinggal di Kampung Senor, Meranti, dekat Pasir Mas, yang masih berharap ibu saudara dapat pulang ke pangkuan keluarga.
“Jika ada sesiapa yang mengenali atau pernah berjumpa dengan Siti Esah, boleh hubungi ibu saudara, Kamariah, di talian 019-9994149,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




