Kerajaan Negeri Johor memandang serius kejadian pemasangan Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Johor secara terbalik di sebuah premis perindustrian dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kulai (MPKU).
Tindakan satu kecuaian yang tak sepatutnya berlaku
Menerusi kenyataan dibuat Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, YB Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md Shukor menyatakan kejadian itu merupakan satu kecuaian yang tidak sepatutnya berlaku kerana kedua-dua bendera tersebut melambangkan maruah, identiti dan kedaulatan negara serta negeri.
“Saya kesal dan kecewa dengan kecuaian serta tindakan tidak bertanggungjawab ini. Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai bendera, tetapi lambang kedaulatan, maruah dan identiti negara.
“Begitu juga Bendera Negeri Johor yang membawa identiti, maruah dan kedaulatan negeri serta wajib dihormati oleh setiap pihak yang berada dan menjalankan urusan di bumi Johor,” ujarnya.
MPKU tutup sementara premis
Susulan kejadian itu, MPKU telah mengambil tindakan menutup sementara premis berkenaan sehingga pihak syarikat memberikan penjelasan serta melengkapkan perakuan Aku Janji.
Kedua-dua bendera yang dipasang secara tidak betul itu juga telah diperbetulkan dengan serta-merta.
Pegawai Daerah Kulai melalui Pejabat Daerah Kulai turut mengambil tindakan susulan dan menyelaras perkara tersebut bersama MPKU serta agensi berkaitan bagi memastikan tindakan sewajarnya dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang.
Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan dan pengarah syarikat berkenaan akan dipanggil bagi memberikan penjelasan.

Menurut Mohd Jafni, tindakan PBT itu mempunyai asas berdasarkan pendekatan yang pernah dilaksanakan sebelum ini, termasuk melalui UUK 49(2) – Kuasa Menutup Premis dan UUK 45(1) – Pengibaran Bendera di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2019 yang diguna pakai oleh PBT di Negeri Johor.
Beliau turut memberi peringatan tegas kepada semua pemilik premis, syarikat dan pihak industri supaya memastikan pemasangan bendera dilakukan dengan betul dan penuh rasa tanggungjawab.
“Saya mahu memberikan peringatan tegas kepada semua pemilik premis, syarikat dan pihak industri di Negeri Johor: hormatilah Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Johor.
“Pastikan setiap pemasangan bendera dibuat dengan betul, tertib dan penuh rasa tanggungjawab. Alasan kecuaian tidak boleh dijadikan alasan untuk memandang ringan penghormatan terhadap simbol kedaulatan negara dan negeri,” jelasnya.
Tiada kompromi soal penghormatan Jalur Gemilang & Bendera Negeri Johor
Tegasnya, Kerajaan Negeri Johor tidak akan berkompromi dalam soal penghormatan terhadap Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Johor, selain memastikan siasatan dijalankan bagi menentukan punca serta pihak yang bertanggungjawab.
“Kerajaan Negeri Johor tidak akan berkompromi dalam soal penghormatan terhadap Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Johor.
“Kita akan menunggu hasil siasatan bagi menentukan punca serta tanggungjawab pihak terlibat, namun pendirian kita jelas, maruah negara mesti dipelihara, maruah Negeri Johor mesti dijunjung, bendera mesti dihormati dan undang-undang mesti ditegakkan,” ujarnya lagi.

Sumber: Facebook Mohd Jafni Md Shukor
