Semua juruterbang Malaysia Airlines bebas bahan terlarang

Semua juruterbang Malaysia Airlines bebas bahan terlarang

Malaysia Aviation Group (MAG) mengesahkan semua juruterbang Malaysia Airlines yang menjalani saringan dadah wajib didapati negatif, selepas keseluruhan 100 peratus kumpulan berkenaan selesai menjalani ujian itu setakat 15 Ogos lalu.

Semua juruterbang Malaysia Airlines bebas bahan terlarang

Memetik laporan Kosmo, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata, saringan wajib terhadap juruterbang Malaysia Airlines berjaya diselesaikan mengikut garis masa yang ditetapkan, iaitu pada 15 Ogos.

Menurut beliau, pelaksanaan saringan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha MAG untuk memperkukuh aspek keselamatan serta memastikan tahap kecergasan kru sentiasa berada pada tahap yang diperlukan sepanjang operasi kumpulan itu.

“Penyelesaian fasa pertama itu merupakan satu pencapaian penting dalam langkah-langkah yang telah ditetapkan kumpulan, namun usaha berkenaan akan diteruskan.
“Keselamatan kekal menjadi teras dalam setiap keputusan yang kami ambil dan akan terus melaksanakan langkah-langkah diperlukan bagi memperkukuh perlindungan, mengekalkan piawaian operasi serta memastikan keyakinan penumpang dan pihak berkepentingan,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Selepas fasa pertama selesai, MAG kini akan meneruskan saringan terhadap 2,840 kru kabin Malaysia Airlines yang akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 18 Ogos dan disasarkan selesai pada 3 September depan.

Dalam masa sama, program saringan turut diperluaskan kepada juruterbang serta kru kabin syarikat penerbangan Firefly.

Setakat 15 Ogos lalu, lebih separuh daripada keseluruhan 158 juruterbang dan 163 kru kabin Firefly telah menjalani ujian berkenaan. Semua keputusan yang diterima sehingga tarikh tersebut menunjukkan keputusan negatif.

Menurut kenyataan sama, Firefly dijangka menyelesaikan saringan terhadap baki juruterbang dan kru kabinnya pada 25 Ogos, iaitu lebih awal berbanding tarikh akhir 5 September yang ditetapkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia.

“Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan MAG bagi mencegah dan menghapuskan penyalahgunaan bahan terlarang dalam organisasi, kumpulan akan meneruskan program ujian rawak secara berterusan.
“Langkah dipertingkatkan itu melengkapi rangka kerja kecergasan untuk bertugas sedia ada MAG yang merangkumi saringan sebelum pengambilan pekerja, pemeriksaan kesihatan, latihan berkala, ujian alkohol dan dadah secara berkala selain pemeriksaan pematuhan wajib sebelum penerbangan serta penilaian kecergasan kru,” jelasnya.

Artikel lain: Kes juruterbang: Polis rakam keterangan dua petugas AVSEC bantu siasatan

MAG turut menegaskan komitmennya untuk mengekalkan tahap keselamatan dan profesionalisme yang tinggi dalam semua syarikat penerbangannya.

Menurut kenyataan itu, usaha pencegahan akan terus diperkukuh bagi memastikan kebajikan pekerja, keselamatan penumpang serta kelancaran operasi penerbangan sentiasa terpelihara.

Sumber: Kosmo (Mohd Ridzauddin Roslan)

Scroll to Top