Gempa Flores: 70 maut, lebih 2,000 gegaran susulan

Bernama

Jakarta: Angka korban akibat gempa bumi kuat yang melanda Pulau Flores, Indonesia, meningkat kepada 70 orang, dengan 2,119 gempa susulan direkodkan dan 11,925 rumah rosak di kawasan terjejas di Nusa Tenggara Timur.

Pemangku Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), Berton Panjaitan berkata, gempa susulan yang direkodkan setakat 4 petang waktu tempatan Selasa itu bermagnitud antara 1.3 hingga 6.2, dengan 24 daripadanya melebihi magnitud 5 dan 70 dirasai penduduk.

“Aktiviti gempa bumi masih turun naik dan pola penurunan masih belum dapat dilihat dengan jelas. Keadaan dianggarkan mula stabil dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang,” katanya pada sidang media secara dalam talian pada Selasa.

Gempa bumi bermagnitud 7.7 melanda pada 4.58 pagi waktu tempatan Sabtu, dengan pusat gempa di laut kira-kira 30 kilometer timur laut Mbay di Nagekeo, wilayah Nusa Tenggara Timur, menyebabkan amaran tsunami dikeluarkan sebelum ditamatkan pihak berkuasa pada 7.31 pagi selepas pemerhatian paras laut menunjukkan tiada lagi peningkatan ketara.

Berton berkata, data Kementerian Kesihatan menunjukkan 1,182 orang cedera di kawasan terjejas, termasuk 442 parah dan 513 cedera di Manggarai Timur, yang mencatatkan jumlah kecederaan tertinggi.

“Jumlah mangsa yang dipindahkan kini seramai 40,040 orang. Angka ini tidak mencerminkan jumlah rumah yang rosak, jadi kita perlu berhati-hati dalam mentafsirkannya kerana ramai penduduk berpindah akibat kesan psikologi gempa bumi,” katanya.

Daripada 11,925 rumah yang rosak, beliau berkata, 5,516 mengalami kerosakan teruk, 1,916 kerosakan sederhana dan 4,493 kerosakan ringan, dengan Nagekeo, Manggarai Barat dan Ngada mencatatkan tahap kerosakan tertinggi.

Mengenai pemulihan infrastruktur, Berton berkata, pihak berkuasa mengenal pasti 33 lokasi tanah runtuh di sepanjang jalan nasional, dengan kerja sementara selesai di 32 lokasi dan akses dipulihkan.

Beliau berkata, tujuh jengkaut dan empat jentera pemuat digerakkan bagi mempercepat usaha memulihkan akses, dengan satu daripada jalan yang rosak kini boleh dilalui, manakala tujuh lokasi lain masih mempunyai akses terhad dengan kenderaan perlu bergilir-gilir untuk melaluinya.

Sementara itu, Berton berkata, bekalan elektrik dipulihkan kepada 99.9 peratus pelanggan yang terjejas setakat 5 pagi Selasa, manakala pemulihan rangkaian telekomunikasi di kawasan terjejas mencapai 99.7 peratus.

Mengenai aktiviti pelancongan di Labuan Bajo dan Taman Nasional Komodo, beliau berkata, kedua-duanya secara umumnya beroperasi seperti biasa dan keadaan kekal selamat, manakala akses serta aktiviti di Pelabuhan Marina Labuan Bajo sudah dibuka semula.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top