suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Allahyarham Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, yang maut dilanggar lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, di sini, awal pagi, hari ini, ada menghubungi kakaknya pada jam 10.30 malam semalam memaklumkan dia sekeluarga sudah tiba di Kuala Lumpur.
Perkara itu dikongsikan anak saudara Allahyarham, Zaid Darfis, 39.
Turut maut dalam kejadian itu ialah dua anak perempuan Shaik Mohd Firdaus iaitu Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12, manakala isterinya, Norhayati Razali, 55, parah.
Zaid ketika ditemui berkata, dia dimaklumkan keluarga Allahyarham tiba di Kuala Lumpur untuk menziarahi ibunya di Semenyih, semalam.
“Arwah sempat hubungi kakaknya beritahu sudah sampai di Kuala Lumpur.
“Saya hanya mengetahui kejadian (kemalangan) ini selepas mentua telefon kira-kira 7.30 pagi tadi.
“Memang terkejut. Lepas itu bila tengok TikTok baru nampak kes ini (tular),” katanya ketika ditemui di pekarangan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Katanya, kali terakhir dia bertemu dengan Allahyarham ketika majlis perkahwinan anak sulungnya di Kampar, Perak beberapa bulan lalu.
“Masa jumpa itu arwah macam biasa saja. Kejadian ini memang tak disangka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

