Seorang mangsa maut dilanggar lori imigresen murid SK Air Hitam Labu

nooratiqah.sulaiman@bh.com.my

Kuala Lumpur: Murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Air Hitam Labu di Kampar adalah antara tiga beranak yang maut dalam kejadian kemalangan membabitkan sebuah lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Jalan Sultan Ismail, di sini, awal pagi hari ini.

Menerusi kenyataan oleh SK Air Hitam Labu, kehilangan insan berkenaan sebagai satu ujian berat buat keluarga yang ditinggalkan.

“Warga SK Air Hitam Labu merakamkan ucapan takziah yang setulus hati buat seluruh keluarga yang ditinggalkan. Kehilangan insan tersayang pastinya meninggalkan kesan yang mendalam, namun setiap yang berlaku adalah dengan izin dan ketentuanNya.

“Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa dan kesalahan mereka, menerima segala amal kebajikan, melimpahkan rahmat serta menempatkan roh mereka dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beroleh syurga-Nya.

“Semoga keluarga yang ditinggalkan diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian yang berat ini,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Kanak-kanak itu, Siti Darwisyah Auni Shaik Mohd Firdaus, 12, dilaporkan meninggal dunia bersama bapa dan kakaknya dalam kejadian itu.

Ibunya pula berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Tiga beranak itu maut di tempat kejadian selepas dilanggar sebuah lori JIM di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, di sini.

Siasatan awal polis mendapati lori tanpa penumpang berkenaan dipandu oleh seorang lelaki berusia 43 tahun yang dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi mengambil Orang Kena Tahan (OKT) susulan operasi pendatang asing (PATI) di kawasan berkenaan.

Lori berkenaan dipercayai memasuki persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna merah serta sudah mengaktifkan lampu beacon dan siren.

Pada masa yang sama, pemandu Proton Saga sedang bergerak lurus melalui persimpangan berkenaan ketika lampu isyarat laluannya berwarna hijau tidak sempat mengelak lori berkenaan.

Ia menyebabkan lori berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar empat orang pejalan kaki yang juga satu keluarga serta sebuah kenderaan Inokom Matrix yang berhenti di persimpangan lampu isyarat turut dilanggar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top