JOHOR BAHRU – Parti Wawasan Negara Negeri Johor menyokong siasatan yang telus, adil dan tegas berasaskan undang-undang susulan isu pemasangan Jalur Gemilang dan bendera negeri Johor secara terbalik di sebuah kilang di Kulai seperti yang tular di media sosial pada Isnin.
Penyelaras Majlis Perhubungan Negeri Johor Parti Wawasan Negara, Datuk Zulkifli Bujang, berkata isu berkenaan tidak boleh dikompromi dan perlu dijadikan peringatan bahawa setiap pihak yang mengibarkan bendera wajib mengetahui tatacara pemasangan dan memahami nilai lambangnya.
Menurutnya, pihaknya tidak memandang ringan isu tersebut memandangkan Jalur Gemilang dan bendera negeri Johor memiliki kehormatan, maruah dan kedaulatan.
“Sampai bila kecuaian ini mahu terus dianggap kesilapan atau kekeliruan? Malaysia sudah mencapai kemerdekaan selama 69 tahun.
“Denda atau hukuman bukan persoalan, tetapi kejadian yang menyentuh lambang kedaulatan negara dan maruah negeri masih berulang, malah dianggap kesalahan kecil,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Ulas Zulkifli, bagaimanapun, seorang pemimpin veteran DAP berpandangan bahawa denda antara RM200 hingga RM1,000 sudah memadai dan tindakan menutup premis tersebut disifatkan keterlaluan.
Justeru, katanya, setiap premis, organisasi dan individu bertanggungjawab memastikan kedua-dua bendera dipasang dengan betul supaya nilai kedaulatannya dihormati dengan sewajarnya.
“Patriotisme bukan sekadar mengibarkan bendera, tetapi merupakan kesediaan untuk memahami, menghormati dan mempertahankan kedaulatan, maruah serta keharmonian negara,” ulasnya.
Terdahulu, polis menahan seorang lelaki warga Nepal dan seorang wanita tempatan kerana memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik di sebuah kilang alat ganti di Pusat Perindustrian Indahpura pada Isnin.
Beberapa keping gambar memaparkan kedua-dua bendera yang dipasang terbalik itu tular di media sosial, sekali gus mencetuskan kemarahan orang ramai.
Susulan itu, Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) menutup serta-merta operasi kilang berkenaan pada hari yang sama.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, dilaporkan berkata tindakan itu diambil bagi memastikan pihak pengurusan syarikat bertanggungjawab sepenuhnya atas kecuaian yang menjejaskan simbol kedaulatan dan maruah negara.

