syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pelakon, Qistina Khaled menafikan dakwaan sesetengah pihak yang menuduhnya melakukan pembedahan atau mengambil suntikan kurus demi mendapatkan bentuk badan ideal.
Sebaliknya, pelakon berusia 22 tahun ini mengakui terpaksa mengambil langkah ekstrem dengan ‘menyeksa’ diri mengikat perut sehingga mengalami masalah gastrik teruk demi menurunkan berat badan sebanyak 20 kilogram (kg).
“Dulu berat saya 65 kg dan kini 45 kg. Saya mengambil masa selama setahun untuk menurunkan berat badan selepas mengambil keputusan melakukan diet ketat.
“Memang ramai yang syak dan tuduh saya ‘cucuk’ atau guna ubat-ubatan tertentu. Hakikatnya, saya memang mengikat perut dan tidak makan hingga menyebabkan gastrik teruk yang dihidapi sehingga kini.
“Saya lakukan pengorbanan ini kerana sedar industri tempatan dan stesen televisyen lebih mengutamakan penampilan fizikal yang sempurna di dalam skrin berbanding bakat semata-mata,” katanya.
Bercakap mengenai diet yang diamalkan, Qistina menegaskan dia tidak menggalakkan orang ramai meniru kaedah ekstrem yang dilakukannya itu kerana ia tidak sihat untuk tubuh badan.
“Tolong jangan ikut cara saya. Saya terpaksa buat kerana jika tidak, saya mungkin sukar mendapat peluang kerja,” katanya.
Bagaimanapun, pengorbanan itu ternyata berbaloi apabila dia akhirnya diberi kepercayaan memegang watak utama sebagai Aria Darlina menerusi drama bersiri 28 episod, Tertulis Kita Sampai Syurga arahan Along Kamaludin.
Menerusi naskhah berkenaan, Qistina menzahirkan rasa syukur apabila diberi peluang bergandingan dengan pelakon yang juga idolanya, Shukri Yahaya.
Selain perubahan fizikal, pelakon ini turut mengakui perwatakannya kini berubah menjadi lebih feminin dan matang berbanding imejnya yang agak tomboi sebelum ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd

