Nur Alissa hadiah pingat emas buat jurulatih baru bebas kanser

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kajang: Atlet angkat berat Terengganu, Nur Alissa Sofea Mohamad Nor Wardi menghadiahkan kejayaan di Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 kepada jurulatihnya, Muhammad Amirul Hisham yang kembali bebas daripada kanser limfoma.

Amirul tidak dapat bersama Nur Alissa pada edisi Sarawak 2024 selepas disahkan menghidap penyakit berkenaan kira-kira sebulan sebelum temasya, namun sebulan sebelum SUKMA Selangor kali ini, dia menerima khabar gembira apabila disahkan bebas kanser dan kembali membimbing anak buahnya.

Lebih manis, Nur Alissa sekali lagi muncul juara apabila mendominasi kategori yang baharu dipertandingkan iaitu 86 kilogram (kg) dengan angkatan 78kg dalam snatch dan 105kg clean and jerk untuk keseluruhan 183kg.

Atlet Sarawak, Brickleen Jessie Hiew meraih perak dengan angkatan keseluruhan 171kg (70kg, 101kg), manakala gangsa menjadi milik atlet Pahang, Nur Izzati Insyirah Rahim selepas mengumpul 157kg (69kg, 88kg).

Bagi Nur Alissa, kehadiran semula Amirul di sisi selepas melalui tempoh sukar melawan penyakit memberi semangat berbeza kepadanya untuk mempertahankan emas yang dimenangi pada edisi lalu ketika beraksi dalam kategori bawah 71kg.

“Saya rasa gembira sebab berusaha bertahun-tahun untuk sampai ke tahap ini. Sejak dari SUKMA lepas, orang letak harapan untuk menang lagi emas tahun ini.

“Edisi lalu saya pergi SUKMA tanpa jurulatih sebab dia masuk hospital. Tahun ini dapat bersama dengan jurulatih semula, jadi rasa semangat lain macam,” katanya.

Malah, Nur Alissa mengakui keyakinannya di pentas pertandingan banyak dipengaruhi kepercayaan terhadap program serta kata-kata Amirul, sehingga dia mampu melakukan semua angkatan tanpa sebarang kegagalan.

Kemenangan itu hadir selepas Nur Alissa melalui tempoh sukar apabila mengalami kecederaan bahagian belakang sejak bulan Ramadan tahun lalu dan terpaksa menjalani rawatan sebelum kembali menjalani latihan pada awal tahun ini.

“Saya ikut program yang jurulatih bagi dan selepas itu saya sambung buat latihan bina otot. Makan pun saya banyak ambil protein dan berlatih dua hingga tiga sesi sehari,” katanya.

Lebih menarik, adik Alissa, Nur Arissya Nadia turut menjadi pencetus semangat apabila terlebih dahulu memenangi pingat perak dalam kategori 48kg pada hari pertama pertandingan, sekali gus membuatkan kakaknya bertekad memburu emas.

Sementara itu, Amirul mendedahkan dia disahkan menghidap kanser limfoma sebulan sebelum SUKMA Sarawak 2024, namun tetap memastikan program latihan anak buahnya berjalan meskipun terpaksa berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan kemoterapi.

“Saya baru disahkan bebas kanser sebulan sebelum SUKMA. Sebulan sebelum SUKMA 2024 saya kena kanser, sebulan sebelum SUKMA kali ini saya bebas kanser,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top