KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan merangka mekanisme peralihan perundangan bagi memastikan institusi pendidikan tinggi terus berfungsi susulan keputusan kerajaan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, mekanisme berkenaan diperlukan sementara kerajaan menggubal undang-undang baharu pendidikan tinggi yang akan menggantikan AUKU.
Katanya, mekanisme peralihan diperlukan bagi memastikan universiti dapat terus beroperasi di bawah kerangka perundangan yang sah sementara undang-undang baharu sedang dibangunkan.
“Mesti ada mekanisme peralihan. Kita tidak mahu mengumumkan pemansuhan hari ini, kemudian berdepan persoalan bagaimana universiti akan berfungsi apabila tiada akta yang mengawal aspek perundangan.
“Jadi, kita perlu mencari mekanisme perundangan sementara ketika kita bergerak ke arah kerangka baharu.
“Ia akan mengambil sedikit masa, jadi saya berharap semua pihak dapat bersabar. Kita mahu mewujudkan sebuah akta baharu dan kita tidak boleh mengetepikan sesiapa pun. Semua pihak akan dilibatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan (PSKG) 2026-2030 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.
Menurut Zambry, keperluan menyediakan mekanisme peralihan itu perlu dilihat dalam konteks keseluruhan perundangan pendidikan tinggi kerana AUKU merangkumi pelbagai aspek berkaitan institusi berkenaan.
“Gerak kerja awal bagi penggubalan One Higher Education Act telah pun dimulakan di peringkat kementerian dan dasar namun jawatankuasa bebas akan menjalankan penelitian yang lebih menyeluruh sebelum undang-undang berkenaan dimuktamadkan,” katanya.
Tambah beliau, AUKU tidak boleh dilihat semata-mata melalui peruntukan yang berkaitan dengan mahasiswa kerana akta itu turut menjadi asas perundangan bagi penubuhan dan tadbir urus universiti, hal ehwal akademik serta kedudukan tenaga akademik.
Katanya, hanya tujuh daripada 44 seksyen dalam akta itu secara langsung menyentuh mengenai mahasiswa manakala peruntukan selebihnya berkaitan aspek lain dalam pentadbiran universiti.
Malah katanya, cadangan penstrukturan semula itu turut perlu menangani aspek kebebasan akademik termasuk sekatan sedia ada yang memberi kesan kepada golongan akademik di bawah Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605).
“Usaha ini turut meneliti penyelarasan undang-undang lain yang mengawal selia pendidikan tinggi termasuk Akta 605 dan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555), memandangkan perundangan sedia ada belum diselaraskan sepenuhnya.
“Kita perlu melihat dalam konteks akademik juga. Jangan lupa bahawa golongan akademik dan pensyarah juga merupakan asas universiti dan mereka memerlukan kebebasan untuk menyampaikan pandangan.
“Apabila kita mengubah perkara ini, ia tidak boleh sekadar menukar nama sedangkan perkara-perkara lama masih kekal. Kita perlu melihatnya dalam konteks masa kini dan masa hadapan,” katanya.
AUKU sudah tujuh kali dipinda sejak ia diperkenalkan pada 1971, dengan pindaan pada 2012 membenarkan mahasiswa menyertai kegiatan anjuran parti politik di luar kampus. AUKU turut dipinda pada 1971, 1975, 1983, 1996 dan 2009.
Pindaan terbaru pada 2024 menyaksikan tindakan tatatertib ke atas pelajar di universiti awam tidak lagi tertakluk di bawah kuasa Naib Canselor, sebaliknya akan diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib Pelajar iaitu menerusi pindaan Seksyen 16B AUKU. – UTUSAN
