Saadiah_ismail@bh.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang menjalankan kajian bagi mengurangkan tempoh menunggu pesara mendapatkan rawatan di hospital, khususnya bagi golongan berusia.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, langkah itu antara usaha yang sedang ditambah baik kerajaan bagi memastikan kebajikan pesara penjawat awam sentiasa diberi perhatian.
“Sebelum ini, inisiatif seperti itu dilaksanakan iaitu membabitkan laluan khusus untuk pesara mendapatkan rawatan di hospital.
“Jadi kali ini kita akan perbaiki situasi itu dari semasa ke semasa kerana kita tahu itu antara cabaran yang perlu mereka hadapi.
“Jika kita nak balas jasa penjawat awam ini, mungkin tidak dapat terbalas sebagaimana jasa yang sudah ditaburkan untuk kita berada pada tahap hari ini,” katanya ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih Merdeka: JPA Kenang Jasa Pesara yang Membina dan Mempertahankan Negara, di sini, pada hari ini.
Program yang dilaksanakan sempena Bulan Kebangsaan itu melakukan ziarah lima pesara kerajaan di sekitar Lembah Klang yang pernah menyumbang kepada perjalanan negara daripada era sebelum kemerdekaan sehingga usaha mempertahankan keamanan dan kedaulatan tanah air.
Ia bukan saja menjadi tanda keprihatinan JPA terhadap kebajikan pesara perkhidmatan awam, malah membawa makna lebih besar sebagai penghargaan terhadap generasi terdahulu yang mencurahkan khidmat bakti demi pembentukan, keamanan dan kedaulatan negara.
Lima pesara itu ialah Tan Sri Wan Mahmood Pawan Teh (pegawai tadbir dan politik), Datuk Kamaruddin Hamzah (Timbalan Pesuruhjaya Polis), Samy @ Thambirajah Ponnusamy (pekerja rendah awam), Raja Musa Raja Abdul Rahman (mejar) danIsmail Rejab (koperal).
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekurif Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Datuk Jay Khairil Jeremy Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Mohd Shaiful Ibrahim.
Wan Ahmad Dahlan berkata, program ini turut akan diperluaskan di zon lain dan tidak hanya bertumpu di Lembah Klang saja memandangkan jasa pesara ini terutama dalam mencapai kemerdekaan adalah suatu yang amat besar.
“Mungkin ada di antara kita belum lahir lagi, jadi program seperti ini secara tidak langsung kita boleh memberi bantuan berterusan menerusi kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri.
“Setidak-tidaknya kerajaan mengenang jasa penjawat awam yang menabur bakti selama ini yang tidak ternilai sebenarnya,” katanya.
Sementara itu, Wan Mahmood yang bertanggungjawab secara langsung dalam Perang Saraf, berkata pengalaman berdepan zaman sebelum kemerdekaan dan komunis adalah suatu yang tidak boleh diukur dengan wang ringgit.
Katanya, pembabitannya dalam Perang Saraf melawan komunis menjadi antara kekuatannya dalam usaha mengatasi apa juga masalah dihadapi negara.
“Kita memegang kekuatan ‘knowledge is power’ (ilmu adalah kuasa) dan menerusi penulisan kita uarkan kepada rakyat untuk menyokong usaha kerajaan untuk melawan komunis.
“Pada hari ini, kita mungkin pandang pada zahirnya tiada ancaman, tetapi kita mesti sensitif apa saja ancaman yang masih meresap dalam jiwa setiap orang yang boleh mencetuskan ketidakstabilan dan keamanan dan negara.
“Itu adalah tanggungjawab setiap rakyat yang sayangkan negara, bukan saja pegawai kerajaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

