
SHAH ALAM – Malaysia tidak seharusnya menyelesaikan isu federalisme dengan mewujudkan keadaan yang menyebabkan undi sesetengah rakyat mempunyai nilai jauh lebih tinggi berbanding yang lain.
Kumpulan reformasi Projek SAMA berkata, Sabah dan Sarawak sememangnya wajar diberikan perlindungan perlembagaan yang lebih kukuh, namun cadangan memberikan 35 peratus kerusi Dewan Rakyat kepada kedua-dua negeri itu bukan mekanisme yang sesuai.
Pengasas Projek SAMA, Thomas Fann berkata, cadangan tersebut berpotensi mewujudkan satu lagi ketidakseimbangan dalam sistem demokrasi negara memandangkan Sabah dan Sarawak hanya mempunyai kira-kira 17 peratus daripada keseluruhan pengundi Malaysia.
“Kami menyokong sepenuhnya perlindungan lebih kukuh untuk Sabah dan Sarawak, tetapi memberi 35 peratus kerusi Dewan Rakyat kepada negeri yang mempunyai kira-kira 17 peratus daripada keseluruhan pengundi negara adalah mekanisme yang salah,” katanya.
Menurutnya, perkara itu perlu diberi perhatian serius kerana Dewan Rakyat merupakan institusi yang menentukan pihak yang akan membentuk kerajaan Persekutuan.
Ujar Thomas lagi, nilai undi setiap rakyat Malaysia sewajarnya kekal seimbang setakat yang munasabah tanpa mengira sama ada mereka menetap di Selangor, Kelantan, Sabah atau Sarawak.

THOMAS
Beliau berkata, Malaysia sememangnya sudah berdepan perbezaan ketara dari segi saiz kawasan pilihan raya dan pemberian 35 peratus kerusi Parlimen kepada Sabah dan Sarawak akan menyebabkan jurang tersebut semakin melebar.
Memetik analisis Projek SAMA sebelum ini, Thomas berkata, dalam keadaan berkenaan satu undi di Malaysia Timur boleh bernilai kira-kira 2.6 kali ganda berbanding purata undi di Semenanjung dan kira-kira empat kali ganda berbanding satu undi di Selangor.
“Itu bukan memperkukuh demokrasi. Ia mewujudkan satu lagi kepincangan demokrasi untuk ‘menyelesaikan’ masalah federalisme.
“Kita perlu melindungi hak Sabah dan Sarawak, tetapi bukan dengan menjadikan undi sesetengah rakyat Malaysia bernilai beberapa kali ganda berbanding yang lain,” katanya.
Lindungi negeri tanpa melemahkan nilai undi
Jelas Thomas, Sabah dan Sarawak tidak semestinya memerlukan satu pertiga daripada kerusi Dewan Rakyat bagi memastikan kepentingan kedua-dua negeri itu terlindung daripada pindaan Perlembagaan.
Sebaliknya, Projek SAMA mencadangkan Dewan Negara diperluaskan kepada 100 ahli dengan Sabah dan Sarawak masing-masing diberikan 17 kerusi senator, manakala Labuan pula mempunyai seorang senator.
Cadangan itu akan memberikan Malaysia Timur 35 peratus daripada keseluruhan kerusi Dewan Negara.
“Ini akan memberikan Malaysia Timur kuasa veto yang berkesan terhadap pindaan Perlembagaan kerana pindaan Perlembagaan tidak boleh begitu sahaja mengetepikan Dewan Negara,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya senator dari Sabah dan Sarawak akhirnya dipilih secara langsung bagi memastikan mereka mempunyai mandat demokratik yang jelas.
“Ini selaras dengan prinsip federalisme: Dewan Rakyat mewakili rakyat, manakala Dewan Negara sepatutnya melindungi kepentingan negeri dan persekutuan,” katanya.
Menurut Thomas, pendekatan itu membolehkan matlamat sah untuk melindungi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dicapai tanpa memesongkan bentuk perwakilan dalam Dewan Rakyat yang menentukan pihak yang membentuk kerajaan Persekutuan.
“Kita boleh mencapai matlamat sah untuk melindungi MA63 tanpa memesongkan perwakilan dalam dewan yang menentukan siapa membentuk kerajaan persekutuan,” katanya.
Perbetul ketidakseimbangan sedia ada
Dalam pada itu, Thomas berkata, perbahasan mengenai isu berkenaan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada usaha meningkatkan perwakilan Sabah dan Sarawak.
Sebaliknya, katanya, beberapa negeri di Semenanjung termasuk Selangor dan Kelantan juga ketika ini kurang diwakili berbanding saiz pengundi mereka.
Beliau berkata, reformasi yang lebih menyeluruh perlu dilaksanakan dengan melibatkan pindaan terhadap Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan bagi menangani perbezaan perwakilan antara negeri.
Langkah itu kemudiannya perlu disusuli dengan persempadanan semula bagi memastikan kawasan pilihan raya dalam setiap negeri lebih seimbang.
“Kerusi Parlimen sepatutnya diagihkan dengan lebih adil berdasarkan saiz pengundi, sambil memberikan pertimbangan munasabah kepada kawasan luar bandar yang benar-benar luas dan sukar diakses,” katanya.
Thomas menegaskan, isu berkenaan tidak seharusnya dilihat sebagai persaingan antara Semenanjung dengan Malaysia Timur.
Sebaliknya, kata beliau, cabaran sebenar adalah untuk membentuk institusi yang mampu melindungi Sabah dan Sarawak tanpa melemahkan hak demokratik pengundi di negeri-negeri lain.
“Biarkan Dewan Rakyat mewakili rakyat Malaysia secara seimbang setakat yang munasabah. Biarkan Dewan Negara yang direformasi dan diperkasakan melindungi Sabah, Sarawak serta sifat persekutuan Malaysia.
“Kita tidak seharusnya menyelesaikan masalah federalisme dengan mewujudkan masalah demokrasi,” katanya.