Suami Amyza Aznan kritikal, ditidurkan di HKL akibat sesak nafas

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon Amyza Aznan berkongsi keadaan suaminya yang kini kritikal dan terpaksa ditidurkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, akibat paru-paru berair dan tekanan darah tinggi.

Ketika dihubungi Harian Metro, Amyza, 50, berkata status kesihatan suaminya, Khairil Izhar Mohd Nazir, 51, didapati tidak berapa baik sejak enam hari lalu akibat mengalami masalah sesak nafas.

“Sebenarnya lima hingga ke enam hari ini, keadaan dia memang tak bagus. Dia ada sesak nafas.

“Bukan sebab dia tak pergi dialisis, dia fikir sebab batuk. Sebab dialisis dia kena buat tiga kali seminggu. Selalunya kalau tak dialisis, benda tu akan terjadi. Tetapi kali ini, walaupun dia pergi dialisis pun, masih tak boleh bernafas,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Amyza, kesihatan kurang baik Khairil Nizar sudah berlarutan lebih dua minggu lalu apabila suaminya tidak dapat tidur seperti biasa.

“Saya rasa sudah lebih dari dua minggu, dia tak dapat tidur macam biasa. Dia berdiri sepanjang masa sampai ke pagi. Berdiri ataupun dia duduk. Tetapi lebih kepada berdiri sebenarnya sebab dia tak boleh bernafas,” katanya lagi.

Amyza turut berkongsi empat hari lalu, suaminya pernah memaklumkan mahu ke hospital, namun cuba bertahan dahulu dengan meneruskan rawatan dialisis meskipun tiada perubahan positif.

“Jadi pagi tadi dia ‘surrender’ dan minta saya untuk hantar ke hospital. Tetapi untuk kita hantar sendiri memang tak boleh dan amat mustahil dalam keadaan begitu.

“Sebab dia pasti akan minta berhenti kereta, keluar dan berdiri dua ke tiga jam dekat luar sebab tak boleh bernafas. Jadi keputusannya, saya panggil ambulans datang ke rumah,” kongsinya.

Dalam pada itu, Amyza berkata, kira-kira jam dua petang tadi, dia menerima panggilan daripada pihak HKL memaklumkan suaminya terpaksa ditidurkan.

“Doktor telefon dan beritahu suami saya terpaksa ditidurkan kerana keadaan kritikal, paru-paru berair dan tekanan darah tinggi.

“Saya sudah berada di hospital sejak jam 5 petang tadi, jadi setakat ini belum ada apa-apa keputusan, kita masih tunggu keputusan daripada doktor,” katanya.

Terdahulu, Amyza memaklumkan keadaan terkini suaminya menerusi hantaran di Instagram Storynya, petang tadi.

“Assalammualaikum, suami saya Khairil Izhar berada dalam keadaan kritikal dan telah ditidurkan di Hospital Kuala Lumpur,” tulisnya.

Sebelum ini, Khairil Izhar pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan swasta pada Disember 2017 akibat serangan jantung.

Pada Disember 2023, Amyza berkongsi dia terpaksa membuat keputusan sukar untuk menyelamatkan nyawa suaminya selepas dia ditidurkan akibat sesak nafas.

Bagaimanapun, selepas dua hari ditidurkan Khairil Nizar yang kembali sedar didapati dijangkiti Covid-19 dan perlu menjalani rawatan rapi.

Untuk rekod, Amyza dan Khairil Izhar mendirikan rumah tangga pada 2003.

Hasil perkahwinan itu, pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Andre Mikhail, 20, Adrian Adam, 18, dan Ayden Andika, 12.

Anak sulung mereka, Andre, meninggal dunia pada 23 Februari lalu selepas bertarung melawan kanser paru-paru tahap tiga.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top