Pengiktirafan sebagai amanah, lonjak semangat Mohd Sumali

PENGIKTIRAFAN baharu diterima Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Wira Mohd Sumali Reduan apabila beliau dikurniakan Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira.

Anugerah berkenaan disampaikan sempena sambutan ulang tahun ke-77 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam, hari ini.

Bagi Mohd Sumali, pengurniaan itu bukan sekadar satu penghormatan, malah amanah yang akan dijadikan pencetus semangat untuk meneruskan khidmat dan sumbangan khususnya dalam pembangunan sukan tanah air.

Beliau antara 56 individu yang menerima DCSM pada istiadat berkenaan, yang turut membabitkan beberapa tokoh lain termasuk Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Wira M Kumar; Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Datuk Wira Dr Mohd Azhar Abd Hamid serta Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Dzulkhairi Mukhtar.

Mohd Sumali menzahirkan penghargaan kepada Tun Dr Mohd Ali atas kepercayaan dan pengiktirafan yang diberikan kepadanya.

“Dengan penuh rasa syukur dan rendah hati, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr Mohd Ali Mohd Rustam, atas pengurniaan Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) buat saya.

“Sesungguhnya, pengurniaan ini merupakan satu penghormatan dan amanah yang amat besar maknanya buat saya.

“Saya menerimanya dengan penuh rasa syukur serta akan menjadikannya sebagai dorongan untuk terus berbakti, menyumbang khidmat dan melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Sumali turut merakamkan ucapan ulang tahun kelahiran ke-77 kepada Tun Dr Mohd Ali, selain mendoakan Yang di-Pertua Negeri Melaka itu sentiasa berada dalam keadaan sihat dan dipermudahkan dalam melaksanakan amanah.

“Semoga ALLAH SWT mengurniakan Tun kesihatan yang baik, umur yang panjang, ketenangan serta kekuatan dalam terus memikul amanah menerajui Negeri Melaka.

“Saya mendoakan agar Tun sentiasa berada dalam rahmat, perlindungan dan petunjuk ALLAH SWT, dipermudahkan segala urusan serta terus diberikan kebijaksanaan dalam memimpin dan membawa Negeri Melaka ke arah kemajuan, kesejahteraan dan kecemerlangan,” katanya.

Pengurniaan berkenaan turut menambah satu lagi pencapaian dalam kerjaya Mohd Sumali, yang kini menerajui badan induk sepak takraw negara dalam usaha memperkukuh pembangunan serta prestasi sukan itu di peringkat domestik dan antarabangsa.

Scroll to Top