Bermula dengan memahami keperluan asas pelanggan dalam mendapatkan pengangkutan yang selamat dan boleh dipercayai, NEW TO VIEW TRAVEL & TOUR SDN BHD kini melangkah lebih jauh dalam membina jenama sebagai penyedia solusi mobiliti yang menyeluruh.
Perkembangan itu mencerminkan perubahan landskap industri pengangkutan yang semakin dinamik apabila keperluan pelanggan, khususnya daripada sektor korporat, industri, pelancongan dan perjalanan berkumpulan, tidak lagi sekadar bergantung kepada perkhidmatan penyewaan bas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Vicnesh M Rabind berkata, pelanggan hari ini memerlukan penyedia pengangkutan yang mampu memahami keseluruhan keperluan perjalanan, termasuk kapasiti penumpang, jadual, laluan, tahap keselesaan, keselamatan dan kecekapan operasi.
“Kami tidak mahu NEW TO VIEW hanya dikenali sebagai syarikat sewa bas. Hala tuju kami adalah untuk menjadi transportation solutions provider yang mampu membantu pelanggan mengurus keperluan mobiliti mereka dengan lebih mudah, efisien dan boleh dipercayai,” katanya.
Berbekalkan visi itu, NEW TO VIEW terus memperluaskan pilihan perkhidmatannya merangkumi bas persiaran, bas kilang dan pekerja, pengangkutan korporat, bas mini, perkhidmatan shuttle, pengangkutan VVIP serta kereta mewah dan MPV.

Kepelbagaian perkhidmatan berkenaan membolehkan syarikat memenuhi keperluan pelanggan daripada kumpulan kecil sehingga pergerakan penumpang dalam jumlah yang besar, sekali gus membuka ruang pertumbuhan yang lebih luas.
Menurut Vicnesh, segmen korporat dan industri mempunyai potensi yang besar, terutama membabitkan syarikat yang memerlukan pengangkutan pekerja secara konsisten, shuttle korporat, pengangkutan kilang serta perkhidmatan untuk acara, seminar, latihan dan aktiviti syarikat.
“Bagi pelanggan korporat, pengangkutan bukan sekadar menyediakan kenderaan. Ketepatan masa, keselamatan, keadaan kenderaan, profesionalisme pemandu dan keupayaan untuk bertindak pantas apabila berlaku perubahan adalah sebahagian daripada jangkaan perkhidmatan hari ini,” ujarnya.
Bagi NEW TO VIEW, perjalanan membina kepercayaan pelanggan tidak boleh bergantung kepada harga semata-mata. Sebaliknya, aspek kebolehpercayaan atau reliability dan pengalaman pelanggan menjadi asas penting dalam membina kelebihan kompetitif.
Atas prinsip itu, syarikat memberi perhatian terhadap penyelenggaraan dan keadaan kenderaan, pengalaman pemandu, ketepatan masa serta fleksibiliti dalam menyediakan penyelesaian yang bersesuaian dengan keperluan pelanggan.
“Harga tetap penting, tetapi dalam industri pengangkutan, pelanggan sebenarnya membeli reliability. Jika sebuah syarikat perlu membawa 40 atau 400 orang pada waktu tertentu, mereka memerlukan rakan pengangkutan yang boleh dipercayai,” katanya.
Melihat peluang di sebalik perubahan industri
Dalam usaha meneruskan pertumbuhan, NEW TO VIEW turut melihat perkembangan aktiviti perniagaan, penganjuran acara korporat, perjalanan domestik dan pertumbuhan sektor pelancongan sebagai peluang untuk memperluaskan perkhidmatan charter serta group transportation.
Pada masa sama, peningkatan keperluan pengangkutan pekerja di kawasan perindustrian memberi ruang kepada syarikat untuk membangunkan lebih banyak kontrak jangka panjang dan perkhidmatan pengangkutan berulang.

Pendekatan itu membolehkan NEW TO VIEW mengimbangi segmen pelancongan dan rekreasi yang lazimnya bersifat bermusim dengan kontrak korporat serta industri yang menawarkan permintaan lebih konsisten.
Dalam memastikan pertumbuhan itu dapat diteruskan secara mampan, syarikat juga mula memberi perhatian terhadap penggunaan teknologi bagi meningkatkan kecekapan operasi.
Antara bidang yang berpotensi diterokai termasuk tempahan digital, pengurusan flot, pengoptimuman laluan, penjejakan kenderaan serta sistem komunikasi pelanggan yang lebih tersusun.
“Future of transportation bukan hanya tentang siapa mempunyai lebih banyak kenderaan. Ia mengenai bagaimana kita mengurus fleet, driver, route, customer dan data dengan lebih efisien,” ujarnya.
Membina nama dalam industri mobiliti
Dalam tempoh beberapa tahun akan datang, NEW TO VIEW menyasarkan untuk memperkukuh kehadirannya dalam segmen B2B, memperluaskan kerjasama dengan syarikat korporat dan industri serta mengembangkan rangkaian perkhidmatan bagi sektor pelancongan dan perjalanan berkumpulan.

Vicnesh berkata, aspirasi utama syarikat adalah untuk membina jenama pengangkutan tempatan yang mampu berkembang secara mampan, tanpa mengetepikan perkara paling asas dalam industri iaitu keselamatan, kebolehpercayaan dan kepuasan pelanggan.
“Visi kami mudah, apabila organisasi atau pelanggan memikirkan bagaimana untuk membawa sekumpulan manusia dari satu lokasi ke lokasi lain dengan selamat dan selesa, kami mahu NEW TO VIEW menjadi antara nama pertama yang mereka fikirkan,” ujarnya.
Daripada sekadar memenuhi keperluan perjalanan, langkah NEW TO VIEW memperlihatkan usaha sebuah syarikat tempatan untuk memahami perubahan kehendak pelanggan dan menyesuaikan perkhidmatannya dengan tuntutan industri.
Dengan rangkaian perkhidmatan yang semakin pelbagai serta tumpuan terhadap sektor korporat, industri dan pelancongan, NEW TO VIEW yakin mempunyai ruang yang luas untuk terus berkembang daripada operator pengangkutan kepada penyedia penyelesaian mobiliti bersepadu di Malaysia.

