Georgetown: Keluarga Muhammad Muhaimin Azhad Noor Hadi yang dilaporkan masih gagal dihubungi susulan banjir kilat dan tanah runtuh di kawasan sempadan Nepal-Tibet, Rabu lalu masih berharap pendaki itu ditemukan selamat.
Bapanya Noor Hadi yang menetap di Taman Tun Sardon, Gelugor di sini berkata, mereka kini berada di Kuala Lumpur bagi mengikuti perkembangan berkaitan anaknya yang bekerja di Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Pulau Pinang daripada Wisma Putra.
“Semalam (Ahad) ahli keluarga menghadiri pertemuan dengan Wisma Putra untuk mendapatkan maklumat terkini dan sehingga sekarang kami tidak menerima panggilan telefon atau mesej daripada Muhaimin.
“Saya dan keluarga berharap Muhaimin ditemukan selamat dan kami sentiasa mendoakan keselamatannya selain mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin bersama-sama pengurusan masjid,” katanya ketika dihubungi semalam.
Noor Hadi berkata, Muhammad Muhaimin Azhad berlepas ke Nepal pada minggu lalu dengan dua rakan untuk aktiviti pendakian di Langtang Valley dan sepatutnya pulang ke Malaysia semalam.
Sementara itu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersedia meneliti bantuan bersesuaian kepada keluarga dua pendaki dari negeri itu yang dilaporkan hilang selepas bencana tersebut.
“Kerajaan negeri akan mendapatkan maklumat berkaitan termasuk menghubungi ICU JPM Pulau Pinang kerana dua pendaki terlibat berkhidmat sebagai jurutera di situ untuk melihat bagaimana kita boleh membantu,” katanya semasa ditemui selepas sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Padang Kota Lama.
Kelmarin, ahli keluarga dan rakan kepada tiga pendaki Malaysia, Muhammad Muhaimin Azhad, 27, dari Gelugor; Muhammad Zaki Othman, 29, dari Kubang Semang, Bukit Mertajam dan Muhammad Adib Haikal Awang Mansor, 27, dari Kulim, Kedah dilaporkan hilang susulan bencana itu.
Menerusi hantaran di aplikasi Threads, pengguna @emyliatahar berkata, mesej terakhir daripada kumpulan itu diterima pada 10.42 pagi (waktu Malaysia) pada hari kejadian 26 Ogos dengan lokasi terakhir mereka dikesan di sekitar kawasan Bhote Koshi.
© New Straits Times Press (M) Bhd
