Pemain Piala Dunia cetus nilai perpindahan RM13.34 bilion

London: Pemain yang beraksi di Piala Dunia 2026 mencetuskan nilai perpindahan antarabangsa melebihi AS$3.3 bilion (RM13.34 bilion) pada jendela perpindahan pertengahan tahun yang baru berakhir, menurut Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Badan induk bola sepak dunia itu memaklumkan lebih 260 pemain Piala Dunia daripada 47 negara menukar kelab sepanjang tempoh berkenaan, menyumbang lebih satu pertiga daripada jumlah rekod AS$9.89 bilion (RM39.9 bilion) perbelanjaan perpindahan antarabangsa bola sepak lelaki.

FIFA berkata lebih 12,500 perpindahan antarabangsa didaftarkan di seluruh dunia, sekali gus mencipta rekod baharu bagi jumlah perpindahan dalam jendela pertengahan tahun.

Gelombang perbelanjaan besar itu berlaku selepas Sepanyol menjulang trofi Piala Dunia pada Julai, dengan aksi pemain di pentas terbesar bola sepak dunia membantu melonjakkan nilai pasaran perpindahan global.

Beberapa pemain berprofil tinggi yang beraksi di Piala Dunia turut melengkapkan perpindahan bernilai besar sepanjang jendela berkenaan, termasuk pemain tengah Sepanyol, Rodri yang berpindah dari Manchester City ke Barcelona.

Selain itu, pemain sayap Perancis, Bradley Barcola turut meninggalkan Paris Saint Germain (PSG) untuk menyertai Liverpool dalam perpindahan berprofil tinggi.

FIFA turut memaklumkan bola sepak wanita mencatat rekod baharu apabila perbelanjaan perpindahan antarabangsa meningkat lebih dua kali ganda berbanding 2025 kepada AS$28.6 juta (RM115 juta).

Sebanyak 1,406 perpindahan antarabangsa didaftarkan dalam bola sepak profesional wanita, jumlah tertinggi pernah direkodkan dan meningkat 19.2 peratus berbanding rekod sebelumnya.

Kelab England mendominasi pasaran perpindahan antarabangsa lelaki dan wanita apabila membelanjakan AS$3.02 bilion (RM12.21 bilion) dalam bola sepak lelaki serta AS$8 juta (RM32 juta) dalam saingan wanita.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top