Dua pekerja ditemui masih hidup selepas 10 hari terperangkap

KATHMANDU – Dua pekerja hidroelektrik berjaya diselamatkan dari sebuah terowong yang tertimbus akibat runtuhan di Nepal pada Jumaat.

Ia, sekali gus memberikan harapan baharu kepada operasi mencari dan menyelamat (Sar) pada hari ke-10 selepas banjir dashyat melanda kawasan Himalaya tersebut.

Pasukan penyelamat bersorak ketika salah seorang mangsa dikeluarkan melalui lubang yang dipenuhi lumpur sebelum diterbangkan ke hospital menggunakan helikopter.

“Selagi masih bernafas, masih ada harapan. Operasi Sar masih diteruskan di semua terowong yang terjejas. Marilah kita teruskan usaha dan doa. Kami belum berputus asa” kata Menteri Tenaga, Biraj Bhakta Shrestha dalam satu kenyataan.

Pasukan penyelamat menyifatkan kejadian itu sebagai ‘keajaiban’ selepas runtuhan glasier dan gunung pada 26 Ogos di sempadan China-Nepal mengorbankan sekurang-kurangnya 1,280 orang manakala lebih 5,500 lagi masih hilang.

Kedua-dua lelaki itu yang merupakan warga tempatan dikenal pasti sebagai penyelia mekanikal, Sanjay Shah, 30, dan Maharjan, 45.

Pejabat Perdana Menteri berkata Shah berada dalam keadaan stabil manakala Maharjan sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi.

Keluarga kedua-dua mangsa turut menzahirkan rasa gembira kerana mereka masih hidup walaupun tertimbus selama lebih seminggu.

Mereka adalah antara ratusan pekerja hidroelektrik yang hilang sejak dinding lumpur dan serpihan runtuh melanda kawasan tersebut.

Operasi Sar masih diteruskan di terowong Trishuli 3A, tempat kedua-dua lelaki itu ditemui dan beberapa lokasi lain. Kira-kira 12 projek hidroelektrik turut musnah akibat banjir.

Pihak berkuasa percaya lebih 100 pekerja mungkin masih hidup di dalam beberapa terowong. – AFP

Scroll to Top